GUA MUSANG - Sudah menjadi kelaziman setiap kali jambatan sementara Pulau Setelu ditenggelami air, penduduk di sini pasti berganding bahu membersihkan sisa-sisa kayu hanyut di laluan itu.
Semangat ditunjukkan penduduk kampung di kawasan ini wajar dijadikan contoh apatah lagi mereka tidak pernah lokek memerah keringat demi kepentingan bersama.
Pentadbir Dun Mukim Nenggiri, Ahmad Kamizi Jalil berkata, seperti sebelum ini, sisa-sisa yang hanyut dari kawasan hulu Sungai Nenggiri akan tersangkut di jambatan berkenaan.
Katanya, untuk mengalihkan sisa kayu hanyut termasuk balak yang terdampar di jambatan bukan hanya memerlukan tenaga seorang dua, malah melebihi dari itu.
Katanya, walaupun penduduk sering diduga dengan masalah jambatan sehingga menyukarkan pergerakan dan urusan di seberang, namun semangat persepakatan antara mereka amat baik.
"Setiap kali jambatan tenggelam, kami akan tunggu sehingga air surut dan disusuli dengan kerja-kerja pembersihan agar laluan ini dapat dilalu segera kerana kami tidak ada laluan alternatif selain bot tambang.
"Ia bagaikan sudah menjadi acara wajib selepas jambatan tenggelam, namun apa yang kita lakukan adalah untuk kebaikan bersama," katanya ketika ditemui ketika proses pembersihan jambatan sementara itu.
Sementara itu, penduduk Kampung Prak, Rohaizad Che Soh, 39, memberitahu, kerja gotong-royong itu dijalankan penduduk kampung terutamanya golongan belia.
"Sebelum tenggelam, jambatan ini baru saja dibaiki dan boleh lalu dengan motor. Sebelum ni hanya pejalan kaki saja boleh lalu.
"Kami risau, jika hujan lebat dan arus deras, sisa kayu balak yang hanyut akan rosakkan struktur tiang bawah jambatan. Kalau hanya sampah sarap dan sisa kayu yang tersangkut, tak mengapa. Kami boleh bersihkan bersama-sama," katanya.
Penduduk Kampung Pulau Setelu, Norhasim Muhammad, yang turut terlibat dalam kerja-kerja gotong royong ini memberitahu, niatnya ikhlas membantu demi kemudahan bersama.
"Ini satu-satunya laluan yang kami ada dan jika ada kecemasan, kami akan susah bila jambatan ini tak boleh lalu.
"Jadi, kita ambil langkah bagi bantu untuk mudahkan urusan semua orang. Saya selalu pegang kata-kata ni, bila kita mudahkan urusan orang lain, ALLAH SWT akan mudahkan urusan kita," katanya.
Terdahulu, akibat hujan yang berterusan di kawasan hulu Sungai Nenggiri, di sini, beberapa hari lalu, penduduk dari 13 kampung seberang terputus hubungan sejak petang semalam.
Bagaimanapun, jambatan kekal sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya Mac 2019.