PUCHONG – Jika sebelum ini penghuni perumahan Taman Mawar Kinrara Seksyen 5, bingung dengan kes kecurian kasut berjenama, kini mereka dilanda keresahan apabila bateri kereta pula menjadi sasaran si pencuri.
Difahamkan, hampir 10 kes dilaporkan berlaku sejak Disember tahun lalu dan jumlahnya berkemungkinan lebih daripada itu. Yang menjadi tanda tanya ialah langsung tiada kesan umpil pada kenderaan, si pencuri dikatakan seolah-olah pakar membuka bonet kereta, melarikan bateri sebelum kehilangannya hanya disedari pemilik apabila enjin gagal dihidupkan.
Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 12, Zaulkefli Ahmad berkata, enam kes diadukan kepadanya berlaku sekitar Jalan Mawar 5, Pangsapuri Kos Rendah Taman Mawar dan Pangsapuri Mawar.
Menurutnya, pihaknya bimbang jenayah itu didalangi sindiket yang akan terus memburu bateri kenderaan milik penduduk di situ.
“Semua kenderaan yang menjadi sasaran adalah buatan tempatan termasuk jenis Proton Saga, Proton Wira, Proton Wira Aeroback, Perodua Kenari dan Proton Kembara. Setakat ini ada enam kes dilaporkan kepada saya selaku wakil penduduk di sini tapi saya percaya angkanya lebih dari itu,” katanya.
Tanggung rugi RM400
Mangsa, Saharuddin Abd Wahab, 53, berkata, dia terpaksa tanggung kerugian hampir RM400 apabila dua kali bateri kereta Proton Saganya dicuri pada Mac dan April lalu.
Bukan sahaja keretanya yang diletakkan di luar kawasan tempat letak kereta pangsapuri diduduki menjadi sasaran, malah pada kejadian pertama, tujuh kenderaan milik jirannya turut menjadi mangsa.
Ketika kejadian kedua kira-kira sebulan selepas dia membeli bateri baharu, enam kereta milik penghuni pangsapuri dihuninya pula menjadi mangsa.
“Kereta letak dalam kawasan pangsapuri pun kena, yang jadi tanda tanya, langsung tak ada kesan umpil dan sebagainya. Mereka ni tentu pakar dalam hal-hal begini. Saya rasa pencuri ni dah syok mencuri sebab dah ada pembeli yang boleh tolak (jual) bateri ni,” katanya.
Mangsa, Abdul Majid Cheku Mohamed, 60, pula berkata, bateri keretanya dicuri pada Februari lalu hanya sehari selepas dia membeli kelengkapan kenderaan itu. Sebelum itu katanya, dia dimaklumkan mengenai kes kecurian tayar membabitkan kenderaan milik jirannya.
“Tak sangka lepas tu bateri kereta saya pula hilang, itu pun sedar bila nak ke kedai, enjin kereta tak boleh hidup. Rupanya jiran yang letak kereta di luar pagar rumah pun hilang bateri pada hari sama.
“Yang jadi kemusykilan tak ada langsung kesan pecah bonet kereta, tingkap dan sebagainya malah alat penggera pun tak berbunyi,” katanya. Abdul Majid berkata, dia percaya perbuatan itu dilakukan antara jam 2 hingga 3 pagi ketika penduduk lena tidur.
“Mereka ni memang licik dan pakar, kami hanya sedar bateri hilang bila nak pandu kereta, enjin langsung tak boleh hidup. Tahu-tahu bateri dah ghaib,” katanya dia tidak membuat laporan polis.
Penduduk Taman Mawar yang bimbang dengan kejadian kecurian bateri kenderaan di perumahan berkenaan membuat sidang media berhubung kes tersebut.
Bateri lori turut dicuri
Pengerusi JPP Zon 9, Jimmy Chew Jyh Gang berkata, bukan sahaja kes kecurian bateri kereta, pihaknya turut menerima aduan berkaitan kehilangan bateri lori. Katanya, lokasi menjadi sasaran termasuk kawasan industri Bukit Puchong, Puchong Utama dan Taman Perindustrian Puchong.
Pengusaha kilang katanya mengadu, bateri dicuri meskipun lori milik syarikat diletakkan di depan kilang.
“Bila nak mula operasi mereka dapati bateri semua (empat atau lima lori) lenyap, kejadian berlaku sama ada seminggu sekali atau sebulan dua kali. Harga bateri lori bukannya murah ada yang cecah RM1,000, kalau empat lima lori semua hilang sekali gus tentulah pengilang alami kerugian,” katanya.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohammad Aminudin Megat Alias berkata, pihaknya tidak menerima laporan polis berhubung kes kecurian bateri yang dilaporkan di kawasan perumahan berkenaan.
Bagaimanapun, pihaknya mengambil maklum kes tersebut dan akan beri bantuan termampu kepada penduduk.    “Saya saran penduduk tubuh skim rondaan sukarela (SRS) untuk jalankan rondaan. Memang polis ada ronda tapi kawasan perumahan banyak dan anggota kita terhad. Kalau penduduk nak buat dialog  akan berkerjasama,” katanya.
Banyak aduan di laman sosial
Sementara itu, pengguna Facebook, Norzarina Musa juga menjadi mangsa kecurian bateri.
Menurutnya, perkara itu disedari selepas meletakkan kereta jenis Satria di sebuah bangunan pusat beli belah di Jalan Kebun.
“Saya parkir kawasan di situ tak sampai sejam. Mulanya ingat enjin rosak. Tapi saya sedar bateri kena curi. Saya takkan halalkan siapa yang curi bateri kereta dan tunggulah balasan. Kerjalah, jangan mencuri, geramnya,” katanya.
Don Babu dari Petaling Jaya menulis, bateri keretanya dicuri di kawasan Asia Jaya LRT Station.
“Kalau saya dapat orang yang curi bateri kereta, nahas kau,” katanya.
Chef Zamri Abdullah pula berkata, kes curi turut dikesan berlaku di Ukay Perdana pada 13 Februari lalu.
“Hati-hati. Laporan polis dah dibuat. Ini kes kedua kereta sahabat kena kopak,” katanya.