Menurut Nora, tindakan demikian diambil selepas merasakan tuduhan yang dibuat Fasha ke atas dirinya tidak berasas.
Selain Fasha, Nora juga akan mengambil tindakan yang sama ke atas seorang penulis blog hiburan terkenal kerana menuduhnya menghalau pelakon tersebut daripada acara itu.
"Walaupun penganjur mengaku bertanggungjawab terhadap masalah ini, namun tindakan terburu-buru Fasha memuat naik gambar berserta kapsyen di laman Instagramnya termasuk mengaitkan jenama pakaiannya telah meninggalkan impak negatif terhadap perniagaannya.
"Jadi, saya failkan saman terhadapnya kerana sikap melulunya membuat tuduhan," jelas Nora dalam sidang akhbar di sini sebentar tadi.
Sementara itu, Pengarah Glass Go, Amiruddin Rizuan Ali mengaku akan bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden yang membabitkan Fasha dan Nora ketika berlangsungnya acara Fenomena Aidilfitri 2017 kelmarin.
Bertindak selaku penganjur utama acara berkenaan, Amiruddin mengakui kesilapan dan kekeliruan berpunca daripadanya.
Bahkan, beliau berjanji akan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pihak bagi mencari jalan penyelesaian.
"Insiden Fasha dikatakan telah dihalau daripada berada di pertunjukkan fesyen tersebut adalah tidak benar. Begitu juga dengan dakwaan mengatakan Nora akan menarik diri turut tidak benar.
"Sebenarnya, wujud salah faham di situ dan saya akan selesaikan kekeruhan yang telah berlaku ini dengan kadar segera.
"Saya akan adakan pertemuan dengan Fasha dalam masa terdekat. Saya minta maaf atas hal yang berlaku," katanya yang turut serta dalam sidang akhbar itu.