Tuesday, May 23, 2017

Nabil Ahmad Bawa Bas Masuk Studio?




Nabil Ahmad kini bergelar penerbit.
DEMI menampilkan kelainan terhadap projek sulungnya sebagai penerbit, pelawak dan pengacara sanggup membawa sebuah bas persiaran masuk ke dalam sebuah studio.
Kata Nabil dia menerusi syarikat produksinya, Nabil Ahmad Productions akan tampil dengan sebuah sitkom berjudul Bus Stop dan ada sebab dia membawa masuk sebuah bas semasa rakaman.
Jelasnya, dia bas tersebut bukan sekadar perhiasan tetapi digunakan untuk memperkenalkan artis jemputan pada sitkom itu dan ia belum pernah dibuat oleh orang lain.
"Untuk projek pertama ini, saya kena buat kelainan kerana kebiasaannya jika ada artis jemputan mereka akan muncul dari belakang pentas.
"Saya tidak mahu lakukan perkara sama dan kebetulan nama sitkom ini Bus Stop, jadi apa kata kita bawa masuk sebuah bas dan artis jemputan turun dari bas sebagai kelainan," katanya.
Bercerita lanjut mengenai projek itu, Nabil berkata, dia menghasilkan sitkom itu kerana ingin mengembalikan kegemilangan program seperti Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang sangat digilai oleh penonton sekitar zaman 90-an.
Bagaimanapun kata Nabil, dia bukan meniru sitkom popular itu sebaliknya menjadikan ia sebagai inspirasi dalam menghasilkan Bus Stop.
"Selain menerbit, saya tulis sendiri skripnya dan ia sangat berbeza dengan komedi-komedi sedia ada yang kebanyakannya berkonsepkan lawak pentas.
"Berlainan dengan Bus Stop saya ingin mengembalikan zaman kegemilangan sitkom dan berharap program pertama saya ini akan bertahan lama dan bukannya hanya satu musim," ujarnya.
Kata Nabil lagi, sitkom 13 episod itu bakal menampilkan Ippo Hafiz, Sherry Alhadad, Ebby Yus dan Angah Raja Lawak selain beberapa artis jemputan.
Ia bakal menemui penonton menerusi saluran Astro Warna pada Jun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: