KUALA KRAI - Seorang ibu di sini, tersenyum lega apabila dua penantiannya berakhir dengan khabar berita gembira.
Azlina Arshad, 40, yang merupakan salah seorang mangsa banjir besar Disember 2014 menerima rumah kekal baharu (RKB), bulan lalu.
Berita paling menggembirakannya apabila anak bongsunya, Amni Umairah Basri, dua tahun lapan bulan yang menghidap penyakit Treacher Colling Syndrome sejak lahir selamat menjalani pembedahan.
Menurut ibu kepada tujuh anak ini, dia tidak kisah terpaksa tinggal di penempatan sementara Kem Sungai Durian selama dua tahun enam bulan sementara rumah RKB yang diberikan Kerajaan Pusat di Sungai Durian siap.
Katanya, biarpun kehidupan agak sukar sepanjang tempoh berkenaan, dia bersyukur akhirnya dapat tinggal di rumah yang lebih sempurna.
"Rumah baru ni selesa sebab ada bilik.
"Walaupun terpaksa tunggu lama, kami reda kerana kini sudah dapat duduk rumah sendiri yang jauh lebih selesa,” katanya.
Penempatan baharu Azlina sekeluarga di Sungai Durian.
Azlina berkata, Amni Umairah menjalani pembedahan bagi membentuk dagunya tahun ini.
"Pembedahan pertama dilakukan untuk memasukkan besi pada bahagian dagu Amni Umairah.
"Biarpun kena melalui beberapa siri pembedahan lagi, tapi saya tetap gembira lepas lihat perubahan pada Amni Umairah yang makin positif," katanya.
Menurutnya, dia berharap pembedahan seterusnya akan berjalan lancar.
Amni Umairah tidak dapat bernafas melalui hidung terpaksa dipasang tiub pada hidung untuk memudahkan pernafasan serta mengeluarkan kahak.
Selain itu, anak kecil ini juga turut menghadapi masalah rekahan dan lelangit, kecacatan pada telinga serta wajah tidak harmoni.
Banjir Disember 2014 lalu menyebabkan rumah disewa Azlina sekeluarga di Jalan Geale musnah.