HUBUNGAN erat dengan komuniti pelbagai kaum menjadikan seorang aktivis masyarakat tidak kekok berdepan pelbagai situasi yang berlaku di kawasan setempat.
Bagi, PN Velayutham, 55, minatnya dalam membantu masyarakat membuatkan dia begitu disenangi orang ramai biarpun berlainan bangsa dengan sesuatu komuniti.
Malah lebih mengejutkan, dia pernah membantu menguruskan jenazah orang Islam di tanah perkuburan Islam di Ipoh.
Tinggal di Taman Desa Pinji, Changkat Larang, Ipoh, beliau kini aktif bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) melakukan kerja-kerja kesukarelawan dalam pelbagai kes bencana, menyelamat dan sebagainya.
“Sebelum masuk APM pun saya memang suka tolong orang. Bila dapat sertai APM lagilah saya seronok. Saya membantu tak kira bulu, tak kira warna kulit sebab yang penting saya rasa puas bila dapat selesaikan masalah orang. Masyarakat Melayu memang dekat dengan jiwa saya sebab tinggal dalam komuniti dan persekitaran yang ramai orang Melayu.
“Bukan sahaja kenduri, orang meninggal pun saya pergi tolong apa yang perlu. Semua yang saya buat ini kerana Tuhan sebab saya percaya bila kita tolong orang, Tuhan akan tolong kita. Itu pegangan hidup saya,” katanya.

Mempunyai lima anak, Velayutham berkata, dia pernah menerima sejumlah wang pemberian seorang lelaki Melayu yang pernah dibantunya namun wang itu diberikan untuk program bacaan Yasin dan majlis berbuka di sebuah sekolah di Ipoh.
Katanya, tindakan itu dibuat kerana menganggap wang yang diberikan tidak layak diterima kerana bantuan yang dibuat benar-benar ikhlas.
Bercerita mengenai tindakannya membantu menanam jenazah di tanah perkuburan Islam baru-baru ini, Velayutham menjelaskan ia merupakan tindakan spontan yang lahir dari hati kerana ingin membantu.
“Memang ramai nampak terkejut sebab masa itu saya pakai uniform APM dengan tertera nama saya Velu. Saya teruskan kerja-kerja ambil tanah dan masukkan ke dalam liang lahad dan saya anggap kerja itu satu bentuk bantuan kemanusiaan biarpun berlainan agama dan bangsa.
“Apa yang saya nak nasihatkan, bantulah sesiapa pun tanpa mengharapkan ganjaran atau balasan kerana satu hari nanti, Tuhan pasti akan membalasnya dengan pelbagai cara,” katanya yang begitu gemar membaca buku berkaitan budaya masyarakat di negara ini.
Velayutham berkata, balasan Tuhan hasil dari kerja ikhlas kita itu bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit atau kebendaan tetapi perkara-perkara lain kita tidak sangka termasuklah dari segi kesihatan.
Beliau berkata, walaupun umurnya menginjak ke 50-an, tetapi tahap kesihatannya sangat baik dan masih cergas melakukan aktiviti menyelamat dan dalam keadaan sukar.