BANDAR SERI BEGAWAN - BRUNEI. Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) melakar satu sejarah penting apabila berjaya menemui minyak dan gas di Telaga Layang-Layang di kawasan Lumut yang merupakan penemuan darat signifikan pertama bagi BSP dalam tempoh 37 tahun.
Memetik laporan Media Permata, BSP berkata, penemuan minyak dan gas Layang-Layang itu merupakan yang pertama menggunakan konsep geologi terbaru iaitu Shale diapir trap.
Penemuan itu adalah merupakan sebuah telaga di Padang Seria yang merupakan padang minyak tertua dan pertama Brunei yang ditemui pada 1929.
Telaga itu telah digerudi dengan selamat pada sudut di bawah bandar Lumut hingga sedalam 4,319 meter iaitu satu kedalaman yang lebih tinggi daripada Gunung Kinabalu.
Jumlah sebenar penemuan itu masih belum dinilai tetapi kiraan awal menunjukkan bahawa sasaran awal dan potensi pendapatan adalah bersamaan dengan kira-kira 15 peratus daripada belanjawan tahunan negara sebanyak $6 bilion.
Berita penemuan itu adalah satu berita yang amat baik bagi Brunei kerana di samping menambah volum asas sumber negara, hasil penemuan itu juga menyediakan penentukuran yang baik bagi prospek kawasan sekeliling yang belum digerudi di mana tiga lagi sedang dirancang untuk digerudi pada 2017 dan 2018.
Penerokaan itu dijangka akan membawa kepada lebih banyak perkembangan minyak dan gas darat pada masa akan datang serta akan membuka lebih banyak peluang bagi Brunei dalam sektor hiliran.