Monday, April 17, 2017

"Saya Tak Tahu Itu Laluan Kereta" - Iqram Ulas Terima Nota Kecaman



Iqram memohon maaf atas kesilapannya meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya.
PETALING JAYA: Pelakon Iqram Dinzly kesal dan memohon maaf kerana kesilapannya meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan dia menerima nota kecaman daripada individu yang tidak dikenali.
Iqram, 35, menjelaskan, kejadian yang berlaku di Pulau Langkawi, Kedah minggu lalu itu disebabkan dia belum mahir selok-belok jalan di sekitar pulau peranginan itu selain tidak mengetahui tempat dia meletakkan keretanya merupakan laluan utama kenderaan.
"Ketika kejadian ruang parkir di Pekan Kuah, Chenang penuh dan saya nampak ada kereta lain yang meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan.
"Jadi saya pun melakukan perkara sama memandangkan urusan saya di sebuah bank mengambil masa singkat sahaja.
"Demi Allah saya tak tahu itu laluan utama kenderaan kerana saya sangka ia jalan sehala," katanya.
Iqram memuat naik foto nota diterimanya daripada individu tidak dikenali gara-gara salah meletakkan keretanya di bahu jalan.
Tindakan itu menyebabkan Iqram menerima nota yang ditinggalkan di cermin keretanya dengan tulisan "kereta besar otak kecik".
Iqram kemudian berkongsi nota berkenaan di Instagram miliknya selepas indivdiu yang meletakkan nota itu menyebarkan di laman sosial.
Dalam pada itu, Iqram berkata, tindakannya memuat naik gambar itu bukan kerana mahu mempertahankan diri sebaliknya ia sekadar luahan rasa sebagai manusia biasa.
Bagaimanapun, aktor ini tidak menyangka foto itu menjadi isu sehingga dia menerima pelbagai kritikan daripada netizen.
"Sejujurnya saya tidak marah cuma rasa agak keterlaluan apabila ia disebarkan di laman sosial oleh individu yang meletakkan nota itu pada kenderaan saya.
"Apabila saya memuat naik status mengenainya ramai pula menghentam saya. Jika baca betul-betul, tulisan saya itu hanyalah gurauan semata-mata.
"Saya memohon maaf atas kesilapan saya dan tak mahu perkara ini diperbesarkan lagi. Saya anggap ini sebagai pengajaran dan akan lebih berhati-hati selepas ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Iqram berkata, dia berada di Langkawi kerana menguruskan restorannya DR. CHiQQY yang terletak di Telaga Walk, Chenang.
Restoran yang dibuka sejak Mac lalu, menyediakan hidangan berkonsepkan Malaysian Fusion Food antaranya Nasi Ayam Goreng Hang Li Po, Nasi Butter Janda Berhias, Cekodok Pishang , Nasi Garik Bibik , Ais Kepal Perawan , Ais Krim Batang Dinzlycious dan banyak lagi menu lain.