KUMPULAN nasyid, Raihan bercadang untuk mengadakan konsert berskala besar pada tahun ini bersempena dengan 21 tahun Raihan dalam industri seni suara negara.
Namun menurut Che Amran Idris, Raihan yang kini dianggotai oleh Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim, mereka masih lagi dalam usaha untuk mendapatkan penaja bagi merealisasikan impian tersebut.
“Kami ingin buat konsert di negara sendiri tetapi faktor ekonomi membuatkan kami menghadapi masalah untuk mendapatkan penaja yang boleh menaja konsert tersebut," katanya.
Pun begitu, kumpulan Raihan yang cukup popular suatu ketika dahulu ini masih lagi banyak menerima tawaran mengadakan persembahan di luar negara.
“Ketika berada di Bangkok baru-baru ini pun kami turut menerima hasrat dari pihak sana untuk mengadakan satu konsert di Thailand.
“Insya-ALLAH, dalam masa terdekat ini Raihan akan ke Bangkok semula dan berbincang mengenai hasrat itu dengan lebih lanjut.
“Kebetulan, dalam banyak-banyak negara, Thailand adalah negara yang belum pernah kami buat konsert lagi.
“Seperti negara-negara lain contohnya di Perancis kami sudah pergi dua ke tujuh bandar, malah di United Kingdom pun sudah lima bandar, Australia tiga bandar, dan banyak lagi,” jelasnya.
Raihan berkata demikian ketika menghadiri sesi sidang media Interactive Dakwah Training (IDT) sebagai penyanyi jemputan untuk acara malam amal yang bakal diadakan pada 13 Mei 2017 bertempat di Rumah Puspanita, Jalan Hose, Kuala lumpur.
Tersenarai 500 Muslim Paling Berpengaruh
Dalam perkembangan lain, Raihan sekali lagi diiktiraf di dalam 500 Muslim Paling Berpengaruh di dunia.  Ini merupakan kali yang kesembilan berturut-turut.
Pengiktirafan tersebut dicapai hasil kajian yang dilakukan oleh Universiti Georgetown, Washington, Amerika Syarikat dan telah dikeluarkan dalam The Muslim 500: The World’s Most Influential Muslim bagi kategori Seni dan Budaya mewakili Malaysia.
Turut tersenarai ialah Yusuf Islam mewakili United Kingdom dan Maher Zain (Sweden).
Selain Raihan, selebriti tempatan yang turut tersenarai bagi tahun kedua termasuk Datuk Siti Nurhaliza dan Hafiz Hamidun. Manakala selebriti luar negara pula menyaksikan penyenaraian Aamir Khan, Sami Yusuf dan ramai lagi.