PENYANYI yang sebelum ini popular dengan lagu Nazam Berkasih, Syura berhasrat untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.
Bukan kerana melihat kejayaan beberapa rakan artis yang berjaya membuat penampilan semula, tetapi kerana minatnya dalam nyanyian tidak pernah pudar meskipun seketika berehat dari bidang seni.
“Sebelum ini saya pernah tampil dengan dua single, Gantung dan Ajari Aku, namun dua lagu tersebut seakan tidak disedari ramai kerana saya tampil dengan konsep muzik berbeza sedangkan sebelum ini orang lebih mengenali saya dengan lagu irama Malaysia.
“Bagaimanapun saya tidak pernah kecewa, malah percaya mungkin ada peluang lain selepas ini, apatah lagi syarikat rakaman saya, FMC Music sentiasa membuka pintu untuk saya membuat penampilan semula,” ujar Syura yang bergelar penyanyi ketika berumur 13 tahun.
Biarpun usia penglibatannya dalam bidang seni boleh dianggap sebagai senior, Syura masih menganggap dirinya banyak kekurangan, malah tidak kisah untuk belajar termasuk menyertai pertandingan.
Sebelum ini Syura pernah menyertai pertandingan D’Academy Asia 2 di Indonesia dan terbaru turut bersaing dalam program Super Karoks KoolFM.
“Kalau dilihat kepada tempoh tahun penglibatan, memang saya boleh dianggap sebagai senior, namun sepanjang tempoh itu secara peribadi, rasanya belum ada pencapaian yang boleh dibanggakan.
“Disebabkan itu, keinginan untuk belajar dan membaiki kelemahan diri  sentiasa ada malah saya melihat penyertaan dalam pertandingan adalah salah satu cara yang boleh memperbaiki cara nyanyian,” katanya terbuka.

Jana pendapatan

Dalam perkembangan lain, bekas juara Masterchef Selebriti musim kedua ini kini sibuk menguruskan perniagaan penghantaran makanan, Bekal Mak Kita yang menyediakan pelbagai jenis masakan Melayu yang diusahakan sejak sebulan lalu.
Tidak mahu mensia-siakan apa yang dipelajarinya dalam kursus Culinary Arts di UNITAR dua tahun lalu, Syura menggunakan pengetahuan dan kemahirannnya menjana pendapatan.
“Idea untuk tampil dengan perniagaan penghantaran ini timbul apabila ramai bertanya bila saya nak buka restoran kerana mereka mahu merasa resipi yang saya masak selepas menjuarai Masterchef Selebriti mahupun selepas tamat pengajian.

Syura pernah menjuarai Masterchef Selebriti musim kedua.
“Untuk buka sesebuah restoran itu bukanlah perkara mudah, malah memerlukan modal besar selain komitmen tinggi. Semestinya saya belum mempunyai persediaan ke arah itu.
“Jadi, saya mulakan dengan perniagaan penghantaran makanan, Bekal Mak Kita untuk bagi orang rasa kualiti masakan dan Insya-ALLAH kalau ada rezeki  dan mendapat sambutan baik, mungkin saya akan buka cafĂ© secara kecil-kecilan pula,” katanya.
Tambah Syura lagi, jika mempunyai kesempatan masa, dia juga tidak keberatan menghantar sendiri makanan pelanggan sebagai tanda menghargai mereka.
“Sebelum ini ketika jual biskut raya, saya pernah hantar sendiri ke rumah pelanggan dan mereka sangat terkejut.
“Jujurnya, saya juga seronok bila lihat mereka gembira dengan kedatangan saya,” katanya.

Status ibu tunggal

Menyentuh tentang kehidupannya sebagai ibu tunggal kepada tiga anak, Syura tidak pernah menjadikan status itu sebagai penghalang untuk hidup gembira sebagaimana orang lain. Malah dia sentiasa positif dalam merencana masa depan bersama anak-anak.
“Alhamdulillah, walaupun banyak perkara kini perlu dilakukan sendiri dengan tanggungjawab yang semakin berat, saya gembira dengan kehidupan kami hari ini.

Syura bersama anak-anaknya.
“Lebih penting anak-anak begitu memahami situasi kami dan sering memberikan sokongan sehingga saya menjadi seorang yang sentiasa positif.
“Hubungan dengan bekas suami juga masih baik membuatkan kami senang berbincang tentang anak-anak tanpa sebarang konflik yang mungkin boleh memberikan kesan kepada mereka,” kata Syura jujur.
Masih belum terbuka mencari pengganti, Syura lebih senang memberi tumpuan kepada kerjaya seni dan bidang perniagaan yang diceburinya.
“Saya tidak serik dengan perkahwinan apatah lagi menolak jodoh, cuma buat masa ini ia bukanlah perkara penting yang perlu saya dahulukan.
“Saya mahu fokus kepada kerjaya dan merancang masa depan anak-anak dengan sebaik yang mungkin walaupun tanpa kehadiran suami di sisi,” akuinya.