BALING - Seorang pemilik ladang tembikai di daerah ini menggunakan konsep unik dalam mempromosikan hasil ladangnya, sekali gus beramal untuk kebajikan.
Asamuddin Ismail, 46, berkata, dia menggunakan kata tanda 'tak beli pun tak apa, mai rasa' agar hasil tanamannya dapat dinikmati masyarakat berbilang kaum secara percuma.
“Konsep ini saya perkenalkan sejak 2015. Apa yang saya lakukan ini sebagai menghargai pelanggan dan tanda syukur atas rezeki yang ALLAH SWT kurniakan.
“Saya memulakan perniagaan ini dengan menjual tembikai potong di jalanan. Hanya terhad dua biji dengan menggunakan motosikal. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan berusaha tanpa jemu, buah-buah ini dibawa menggunakan lori,” katanya, semalam.
Tambah Asamuddin, dia yang dibantu Aiman Aimmuddin, 14, berharap perniagaan diceburinya itu membolehkan dia terus berbakti kepada masyarakat.
“Saya sedang mengusahakan labu dan tembikai emas sebagai usaha mengembangkan lagi perniagaan ini.
“Tembikai emas pasarannya tak banyak di Malaysia. Warna kuning keemasan dan rasa terlalu manis,” katanya.