TAMBUN – Bantuan kewangan antara diperlukan Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Addin 7 untuk melancarkan perjalanan sesi persekolahan mereka.
Pengetuanya, Ahmad Rais Ismail berkata, maahad tahfiz itu menempatkan 80 pelajar berusia 13 hingga 15 tahun dan ada antara mereka merupakan anak yatim dan asnaf.
Menurutnya, pelajar dikenakan yuran sebanyak RM300 sebulan bagi keperluan makan minum bagaimanapun, bukan semua pelajar membayar yuran pada tarikh ditetapkan malah ada yang masih tertunggak yurannya.
“Kami sekurang-kurangnya memerlukan RM30,000 setiap bulan bagi perbelanjaan harian anak-anak tahfiz , pengurusan, penyelenggaraan dan elaun kakitangan,” katanya selepas majlis penyerahan wakaf Al Quran dan Ihya Ulumuddin semalam.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Operasi Ade Azhar Trading Sdn Bhd, Mohd Nizam Khan Md Yusoff berkata, melalui program Infak Insaniah pihaknya telah menyerahkan 600 Al Quran dan 300 Ihya Ulumuddin kepada maahad tahfiz tersebut.
“Ini adalah permohonan paling banyak yang kami terima. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan difahamkan ia akan dibahagikan juga kepada 18 cawangan maahad berkenaan.
“Program ini kami mulakan sejak dua tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai. Melaluinya kami galakkan masyarakat untuk memwakafkan Al Quran untuk diberikan kepada golongan asnaf dan juga pelajar tahfiz,”katanya.