KUALA TERENGGANU – Hotel TY, iaitu sebuah lagi hotel baharu yang mula beroperasi di bandaraya Kuala Terengganu, membuat pelaburan keseluruhan berjumlah RM5 juta.
Pengurus Besarnya, Mohd Irham Mohd Yusoff, 33, berkata, hotel tersebut mula dibina pada tahun 2015 dan siap pada November 2016 dan mula beroperasi pada 15 November tahun yang sama.
Malah, hotel dilengkapi butik dan kafe ini diyakini mampu menarik pengunjung terutama pada musim cuti sekolah dan musim perayaan, apatah lagi kedudukannya di lokasi strategik. 
“Dengan pelaburan RM5 juta, hotel TY mempunyai kemudahan 36 bilik, iaitu 18 bilik standard dan 18 bilik untuk keluarga, berharga  RM145 hingga RM210.  Tetapi, kita sentiasa membuat promosi harga.
“Selain itu, turut disediakan kemudahan dewan yang boleh memuatkan 100 orang dalam satu masa, bilik seminar, malah kafe bukan sahaja untuk pelanggan hotel tetapi dibuka kepada orang ramai dan butik pelbagai pakaian muslimah termasuk jenama Toiyeeba dengan menawarkan harga mampu milik.
“Alhamdulillah, dalam tempoh enam bulan beroperasi, sambutan menggalakkan diterima,” katanya pada majlis perasmian hotel tersebut yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Dun, Datuk Mohd Zubir Embong.
Menurutnya, dia memilih perniagaan perhotelan tersebut apabila melihat kerajaan negeri amat kompeten untuk membangunkan sektor pelancongan di negeri ini.
Katanya, sejajar dengan itu, maka terbinalah hotel butik yang kini beroperasi di Jalan Sultan Mahmud, Batu Burok. 
Tambahnya, nama TY adalah bersempena dengan singkatan nama bagi pengerusi bersama Yusoff Husin dan Taoyebah Abd Aziz yang juga merupakan kedua ibu bapanya.   
Menurut Mohd Irham,  pada majlis itu juga, turut dilancarkan bufet Ramadan dengan menawarkan 63 menu lazat yang dihidangkan sepanjang bulan Ramadan dengan harga RM49.