KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menyasarkan 5,000 pengunjung akan mengadakan Festival Silat Kebangsaan Negeri Kelantan bagi promosi pelancongan bagi tahun ini.
Exco Kesenian dan Kebudayaan dan Pelancongan Kelantan, Md Anizam Ab Rahman berkata, festival berkenaan dianjurkan kerajaan negeri menerusi Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) dengan kerjasama Pertubuhan Gabungan Seni Silat Warisan Nusantara (Waris).
"Festival ini akan berlangsung pada 21 April dan 22 April ini bertempat di Dewan Gelanggang Seni dengan penyertaan dari enam negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor dan Kuala Lumpur dengan sasaran kira-kira 400 pesilat.
"Program seumpama ini sudah dianjurkan sebanyak empat kali dan tema kali ini 'Kelantan Di hati' yang diadakan secara percuma untuk pengunjungnya.
"Festival ini akan dimulakan dengan pertandingan Seni Silat Jatuh - Juara Antara Juara pada malam 21 April, selain perarakan penuh pesilat berbusana tradisional di jalan utama bandar ini pada pagi keesokannya," katanya kepada pemberita, di pejabat TIC Negeri, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengurus TIC Kelantan, Mohd Sabily Mohd Ramli @ Anuar dan Pengerusi Waris, Mohd Fauzi Abdul Aziz.
Md Anizam juga berkata, pihaknya akan mengadakan pameran sejarah silat, aktiviti pertubuhan silat dan kesenian senjata yang digunakan dalam seni bela diri Melayu.
Kata beliau, terdapat persembahan silat sepanjang hari pada 22 April di mana orang ramai berpeluang melihat sendiri keaslian pelbagai perguruan silat dari Kelantan dan luar negeri ini.
"Sekurang-kurangnya 10 perguruan silat tempatan mengambil bahagian antaranya Pertubuhan Seni Silat Terlak Tunggal, Pertubuhan Seni Silat Gayung Warisan, Pertubuhan Seni Silat Gayungman Segerak dan Pertubuhan Seni Silat Lintau bagi menunjukkan kehebatan mereka," katanya.
Katanya, pihaknya berharap pengunjung terutama golongan muda tidak melepaskan peluang untuk mendekati barisan pesilat dan pendekar yang masih gigih mempertahankan warisan bangsa," katanya.