BEIJING - CHINA. Alat getaran bagi menghentikan jiran di tingkat atas yang bising menjadi popular di kalangan penduduk flat di China, lapor Beijing Morning Post.
Seorang penduduk Beijing yang hanya dikenali dengan nama keluarga Zhang mengadu bunyi bising yang datang dari jiran tingkat atas kediamannya sehingga ibu bapanya sering terjaga dari tidur.
Dia meminta bantuan pihak polis untuk menegur keluarga terbabit dan meminta mereka untuk berhenti berbuat bising, namun mereka tidak mengendahkannya.
Berang dengan sikap jirannya itu, Zhang memasang satu alatan getaran pada siling rumahnya, di mana ia akan bergetar jika bunyi bising kanak-kanak berlari, petik laporan itu.
"Keluarga di atas turun untuk bercakap dengan saya berkaitan hal ini dan mereka hanya diam sekejap dan konflik antara kedua keluarga semakin teruk," katanya.
Taoboa.com yang dimilik Alibaba menawarkan alatan getaran yang menghasilkan pelbagai bunyi dan ada di antaranya dijual dengan harga ratusan yuan.
Satu kit dijual dengan harga 138 yuan (RM88) merangkumi motor, alat kawalan berwifi, kabel dan rod boleh laras.
"Masih marah dengan tingkat atas? Masih berdepan masalah walaupun polis tidak dapat selesaikannya, ini mungkin alat yang akan membantu," petik salah satu iklan alatan tersebut.
Sementara itu, seorang peruncit berkata, permintaan terhadap alatan itu sangat memberangsangkan dan mempunyai masalah membekalkan kepada pelanggan.
Dia turut menawarkan perkhidmatan menyewa alatan itu dan dikenakan bayaran mengikut masa sewaan.
"Sebaik sahaja anda dan jiran anda berdamai, anda boleh mengembalikan semula alatan itu. Kami kenakan bayaran mengikut hari," kata peruncit dipetik sebagai berkata.
Seorang pensyarah dari fakulti Kejuruteraan Awam dan Senibina, Universiti Beijing memberitahu, penggunaan jangka panjang alatan berkenaan boleh menyebabkan keretakan pada dinding dan kerosakan lain.