LEMPENG adalah juadah tradisi turun-temurun yang selalunya hanya dapat dinikmati di rumah, malah ia sering dilabelkan sebagai menu lapuk setelah kewujudan kepelbagaian makanan segera atau menu 'hipster' mengikut trend masa kini.
Walaupun makanan berasaskan tepung gandum itu hanya memerlukan kaedah penyediaan yang singkat, namun tidak banyak peniaga kedai makan yang bersedia mengambil risiko menjadikannya sebagai salah satu menu utama di kedai mereka.
Berbeza dengan Radzlan Sulaiman, 57 dan isteri, Nafisah Ismail, 46 yang memilih lempeng kelapa sebagai ‘killer menu’ menyebabkan makanan itu antara yang paling menjadi kegemaran pelanggannya di Kedai Makan Shalan yang terletak di sekitar Kerayong, di sini.
Radzlan berkata, sekurang-kurangnya dia memerlukan tiga kilogram (kg) tepung gandum sehari untuk menghasilkan antara 70 hingga 80 keping lempeng kelapa bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Menurutnya, memandangkan kedainya hanya beroperasi sehingga waktu tengah hari, pelanggan yang datang selepas jam 11 pagi akan terlepas kesempatan untuk menikmati hidangan itu.
“Bukan saya tak mahu tambah aduan lempeng nyor (kelapa) meskipun mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan, tapi di sini juga ada menyediakan lebih 15 jenis menu yang boleh dipilih pelanggan apabila mengunjungi kedai ini.
“Selain lempeng, mereka juga boleh menikmati menu lain seperti pulut nyor ikan pekasam, laksam, soto, laksa, nasi kerabu dan nasi lemak,” katanya.
Ujarnya, bagi peminat lempeng nyor, mereka bukan sahaja dapat merasai keenakan dan kelembutan hidangan itu, sebaliknya rasanya diperhebatkan lagi jika dicicah dengan kuah kari ayam atau sambal sardin.
Nafisah memberitahu, pada awal perancangan membuka kedai makan itu, lempeng tidak termasuk dalam senarai menu sehinggalah dia bersama sahabat dan pekerjanya makan di sebuah kedai di sekitar Temerloh yang menyediakan hidangan tersebut.
“Susah nak cari orang jual lempeng, sedangkan di rumah pun orang jarang buat. Tapi, saya cuba untuk buat menu lempeng nyor dan alhamdulillah... pelanggan menyukainya.
“Jadi, kami akan sediakan hampir semua menu yang sama setiap hari, tapi lempeng dan pulut perlu ada tanpa pengecualian,” katanya.
Tambahnya, kedai makan yang dibina di tanah milik sendiri memudahkan mereka menawarkan harga yang lebih rendah dan berpatutan, selain kemudahan parkir kepada pelanggan.