Wednesday, February 15, 2017

Masih Mencari Imej, Ella Minta Peminat Reka Tudung Untuknya



Ella membuka peluang kepada peminat untuk mereka tudung yang bersesuaian untuknya. 
KUALA LUMPUR: Ratu rock negara, Ella memberitahu dia sering mendapat teguran daripada pengikut di laman sosial tentang gaya pemakaian tudungnya.
Bagaimanapun kata Ella atau Norzila Aminudin, 51, dia tidak berkecil hati dengan kritikan tersebut kerana masih lagi mencari gaya sesuai dengan imejnya sejak mengambil keputusan menutup aurat sejak Ramadan tahun lalu.
"Sejak saya berhijab peminat ada yang memberi makluman positif dan ada juga yang memberi maklum balas negatif tentang gaya saya memakai tudung.
Ella masih mencari gaya tudung yang bersesuaian dengannya.
"Saya ambil semua teguran sama ada positif dan negatif daripada peminat kerana ia banyak membantu.
"Jujurnya saya sendiri tidak tahu gaya apa yang sesuai dengan saya dan masih lagi tercari-cari stail kena dengan imej saya," katanya.
Ella ditemui pada sidang media Ella Rasa...Ella Nak Cari Designer Shawl yang diadakan di Hotel Sri Pacific di sini, Isnin.
Bercakap mengenai kempen itu, Ella berkata, idea itu tercetus hasil daripada maklum balas diterimanya daripada peminat berhubung gaya pemakaian tudungnya.
Kata Ella dia ingin memberi peluang kepada peminat atau sesiapa mempunyai idea untuk mereka tudung bersesuaian dengan imejnya.
"Kadang-kadang saya baca komen peminat ada yang bernas dan mereka mempunyai banyak cadangan tentang tudung apa yang sesuai untuk saya pakai.
"Jadi saya fikir apa salahnya saya beri peluang kepada mereka untuk mereka tudung bersesuaian dengan saya dan ia juga boleh menjadi satu aktiviti menarik," katanya.
Kata Ella, pertandingan yang berlangsung dari 13 hingga 26 Februari itu bakal dipecahkan kepada tiga kategori iaitu Aidilfitri, Kasual dan Rock & Roll.
"Mereka bebas untuk hantar berapa rekaan untuk setiap kategori selain boleh menyarankan jenis fabrik atau corak yang difikir sesuai dengan saya.
Ella bakal melancarkan koleksi shawl dibawah jenama Inai by Ella.
"Saya menganggarkan setiap kategori kami akan menerima 50 lakaran baru sebelum memilih pemenang setiap kategori yang menepati kriteria iaitu menarik, unik dan asli," ujarnya.
Tambah Ella lagi, pencarian rekaan itu juga merupakan sebahagian daripada publisiti untuk pelancaran koleksi terbaharu shawl dibawah jenamanya iaitu Inai by Ella pada Mac depan.
Pengarah projek berkenaan, Baini Jaafar pula memberitahu, rekaan pemenang yang terpilih bukan sahaja akan dipakai oleh Ella tetapi juga akan dikeluarkan dibawah label Inai by Ella.
Jelas Baini lagi, pemenang akan menerima hadiah terkumpul sebanyak RM5,000 sebagai ganjaran.
"Apa yang perlu mereka memuat naik foto atau imej imbasan rekaan mreka di profail Facebook atau Instagram bersama hastag @inaibyella, @ellaaminuddin #InaibyElla #EllaCariDesignerShawl dan #RatuRockElla.
"Mereka juga perlu hantar karya itu dalam format JPEG atau PDF ke emel urusetia iaitu admin@rockqueen.com.my dengan butiran peribadi sebagai bukti penyertaan.
"Markah bonus akan diberi kepada rekaan yang mendapat tanda 'suka' dan kongsi paling banyak di laman sosial masing-masing," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: