KEMENANGAN Mahershala Ali untuk kategori Pelakon Sampingan Terbaik Anugerah Academy ke-89 melalui filem 'Moonlight' namun ia merupakan sejarah penting apabila menjadi Muslim pertama yang memenangi Oscar.
Walaupun kemenangannya itu sudah dijangka, Ali memberikan ucapan dengan rasa rendah diri dan berterima kasih kepada semua orang yang membantunya hingga selama ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru saya, profesor dan para pelakon filem ‘Moonlight’.
“Satu perkara yang sering mereka ajar ialah semua ini (lakonan) bukan tentang diri sendiri tetapi lebih kepada watak yang dibawakan, kamu punyai tanggungjawab untuk menceritakan tentang watak tersebut kepada orang ramai,” ketika memberikan ucapan penghargaannya.
Sementara itu, beliau juga turut berterima kasih kepada Pengarah Filem ‘Moonlight’, Barry Jenkins dan juga kepada isteri serta anak perempuannya yang baru lahir empat hari lalu
“Terima kasih kepada dia (anak perempuannya) kerana sangat kuat untuk bersama-sama saya melalui semua ini,” katanya lagi.
Kemenangan Ali itu merupakan satu pencapaian ketara pada tahun 2017 lebih-lebih lagi apabila Rumah Putih telah meletakkan sekatan perjalanan bagi individu daripada tujuh negara Islam.
Beliau juga merupakan pelakon kulit hitam kelima yang memenangi anugerah untuk kategori tersebut.