KUALA PILAH - Kewujudan tapak atau batu megalith yang terdapat di daerah ini terus meninggalkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat.
Rentetan itu, Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) telah melakukan kajian lebih dari tujuh lokasi melibatkan Kampung Padang Lebar, Terachi, Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Hijau, Kampung Ibol, Kampung Purun, Tanjong Ipoh, Tanah Perkuburan Islam Kariah Kuala Jemapoh, Kampung Senaling, Tanah Perkuburan Islam Kampung Gachong, Tanah Perkuburan Islam Kampung Pilah Tengah dan Tanah Perkuburan Islam Kampung Gunung Pasir.
Penolong Kurator Unit Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah Bahagian Antikuiti LMNS, Mohd Nazim Abd Gaman berkata, perkembangan kebudayaan megalith di negara ini bermula sejak zaman logam hingga abad ke-18.
“Sekiranya kebudayaan megalith di Negeri Sembilan ada perkaitannya dengan masyarakat Minangkabau, maka tarikh abad ke-18 diambil kira sempena penghijrahan beramai-ramai masyarakat Minangkabau ke sini.
“Banyak penyelidikan dilakukan berkaitan megalith di Negeri Sembilan. Megalith jenis 'menhir' dikenal pasti sebagai jenis megalith yang terbanyak di sini, namun ia masih menjadi satu perkara misteri kepada masyarakat umum mahupun penyelidik.
“Berbagai persoalan timbul tentang pengaruh kebudayaan ini sama ada datang melalui jalan laut atau darat, ia masih belum dapat dipastikan setakat ini,” katanya yang melakukan kajian itu bagi mengiventorikan tapak megalith sebagai warisan bersejarah yang terdapat di sini.
Jelasnya, kajian mendapati kebudayaan megalith di Negeri Sembilan mempunyai unsur yang dibawa dari luar terutamanya megalith jenis 'menhir'.
“Namun dapatan tersebut masih belum dapat dibuktikan dengan jelas kerana tiada kajian terperinci terhadapnya. Bagaimanapun bagi sesetengah pengkaji budaya ini, mereka menolak kenyataan itu.
“Ini kerana, mereka tidak mahu mengaitkan kebudayaan megalith dengan masyarakat Minangkabau dan mempercayai kehadiran budaya ini lebih awal daripada kedatangan masyarakat Minangkabau ke Negeri Sembilan,” katanya.
Sementara itu, tapak megalith di Kampung Padang Lebar, Terachi terletak di halaman rumah Siti Aishah Mohd Zain, 62.
Kata Siti Aishah, batu megalith yang terdapat di halaman rumahnya itu wujud sejak dia masih kecil.
“Jumlah batu megalith yang terdapat di tapak ini adalah sebanyak 24 buah,” katanya turut tidak mengetahui bagaimana kewujudan batu tersebut di halaman rumahnya.