ERA Digital Muzik Awards 2016 (Eradma 2016) yang dipancarkan secara langsung menerusi medium ‘FB Live’ di laman Facebook stesen radio itu, Era FM pada Rabu lalu dilihat sebagai anjakan paradigma baru dalam majlis anugerah tempatan.
Anugerah secara digital edisi pertama yang dicetuskan oleh stesen radio popular negara itu bersiaran lebih sejam di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), menyaksikan lima anugerah dipertandingkan.
Pengurus Kandungan Era Fm, Dhan Andreas ketika ditemui merakamkan ucapan terima kasih buat penonton yang menyokong perjalanan Eradma 2016.
“Walaupun ia sesuatu yang baru bagi acara anugerah di negara kita, namun sokongan yang diberikan penonton begitu menggalakkan apabila secara jelas boleh disaksikan menerusi bilangan views yang tinggi.
“Malah kami juga teruja apabila pada sesi pengundian untuk mencari pemenang di antara lima calon akhir bagi setiap kategori yang dipertandingkan, undian yang diterima juga tinggi dan secara tidak langsung memberi petunjuk peminat muzik tempatan kini kian boleh menerima perubahan.
“Ini sesuatu yang baik, apatah lagi dengan perkembangan digital semasa. Meskipun kami akui pasti akan ada kelemahan dari segi penganjuran kerana pertama kali di adakan, namun kami cuba memberikan yang terbaik.
"Pastinya juga, kami memperbaiki kelemahan yang ada andai anugerah ini diadakan lagi pada tahun hadapan,” kata Andreas yang memberi bayangan Eradma akan diteruskan andai mendapat maklum balas positif dari penonton.
 Mengulas mengenai penganjuran Eradma 2016, Andreas memberitahu, ia dirancang lebih tiga bulan lalu memandangkan bilangan pengguna media digital di Malaysia khasnya kian meningkat.
“Melihat kepada peningkatan itulah, kami sepakat membawakan satu majlis anugerah yang 100 peratus menggunakan platform digital sebagai medium utama.
Pilihan peminat
Penyanyi muda berbakat besar, Syamel diumumkan sebagai pemenang kategori Lagu Paling Lama Dalam Carta Era 40 menerusi lagu hitnya Hidup Dalam Mati sementara Ayda Jebat pula dinobatkan sebagai Temubual Tetamu Terbaik Carta Era 40.
Lagu dendangan Aiman Tino, Ku Rela Dibenci pula dipilih pengundi sebagai Lagu Paling Emo 2016, sekali gus menewaskan empat calon akhir lain yang tidak kurang hebatnya iaitu Demi Cinta, Takkan Pergi, Sudah Ku Tahu dan Terakhir.
Manakala, kumpulan Colour of  Voices memenangi kategori Penyanyi Harapan Baru Pilihan Digi 2016 dan satu-satunya penyanyi senior, Faizal Tahir dilihat kekal relevan dalam kalangan pencinta muzik semasa apabila diangkat sebagai pemenang Penyanyi Kolaborasi Terbaik 2016, dengan menewaskan Juzzthin, Tasha Manshahar, Waris dan Yuna.
Artis generasi baru hangatkan acara
Selain mempertaruhkan lima kategori yang cukup 'hip' dalam kalangan generasi muda kini, Eradma 2016 turut mempertaruhkan elemen persembahan daripada artis muda yang popular di media sosial.
Antaranya ialah Altimet yang membuka tirai persembahan dengan single terbarunya, Amboi disusuli Nabil Ahmad yang tampil mengacarakan majlis. Seperti biasa, Nabil tidak pernah kering dengan idea ketika mengacarakan majlis anugerah ini.
Tidak ketinggalan, Amira Othman, Khai Bahar, Sufian Suhaimi dan Haqiem Rosli turut menghangatkan semarak Eradma 2016 dengan lagu popular masing-masing.
Ayda Jebat yang hadir dengan gaya cukup santai turut membuat persembahan menerusi lagu terbarunya, Nakal diiringi selebriti bertanding.