WASHINGTON DC - AMERIKA SYARIKAT. Seorang imam yang dijangka pada awalnya mahu menyampaikan seruan azan dalam satu majlis keagamaan bersama Presiden AS Donald Trump, mengubah niatnya.
Memetik laporan CNN, sebaliknya imam yang terkenal di Washington itu, iaitu Imam Mohamed Magid memilih dua petikan daripada al-Quran dengan implikasi mesej politik yang jelas, terutama pada masa persengketaan antara kaum dan agama, tatkala ramai orang Islam Amerika berasa terpinggir masa kini.
Ayat pertama dibaca adalah dari Surah Al-Hujarat,ayat ke-13 dan Surah Ar-Rum ayat ke-22.
Bacaan ayat itu, turut disertakan dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris dan telah diadakan dalam gereja Nasional di Washington dalam satu majlis bersama Trump yang baru diangkat sebagai Presiden AS yang baharu, pada Sabtu lalu.
Menurut jurucakap Magid berkata, petikan ayat-ayat al-Quran itu sudah diluluskan oleh pegawai di gereja berkenaan untuk diperdengarkan kepada umum.
"Selepas pilihan raya, apabila banyak perkara yang telah dikatakan tentang Islam, dan ada soalan mengenai kesetiaan umat Islam, ayat-ayat ini bertujuan untuk menyampaikan mesej bahawa kita mesti bersatu dan menghormati kepelbagaian - bahawa ALLAH  menjadikan kita seperti ini," kata Rizwan Jaka, pengerusi lembaga Sosial Muslim AS.
Magid adalah salah seorang daripada 26 pemimpin agama dari pelbagai agama yang terlibat dalam upacara itu, ianya diadakan secara tradisi sejak zaman George Washington.