KUALA LUMPUR - Penggunaan teknologi komunikasi terkini seperti aplikasi WhatsApp secara berkumpulan menjadi satu daripada kaedah terbaharu dalam membanteras jenayah seperti kes pecah rumah, ragut dan curi kenderaan.
Ini dilihat berkesan terutama dalam satu kawasan perumahan atau taman tertentu, selain kaedah konvensional seperti rondaan kawasan dan pondok keselamatan oleh pasukan polis dan persatuan penduduk.
Maklumat yang disampaikan melalui WhatsApp berkumpulan yang disertai penduduk sesuatu komuniti dilihat mampu menyelamatkan sesebuah kediaman daripada dipecah masuk pencuri dengan bantuan penduduk malah pasukan keselamatan juga dapat bertindak segera sebaik maklumat diterima.
Sebagai contoh, keprihatinan penduduk di sekitar Taman Keramat AU2, di sini dalam berkongsi maklumat berkaitan kejadian pecah rumah menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp wajar menjadi ikutan komuniti lain sebagai langkah berkesan mencegah jenayah itu.
Menurut Ketua Penggerak Komuniti dan Keselamatan AU2 Ismail Mohd Rashid, 46, idea itu tercetus selepas mendengar keluhan penduduk yang sering menjadi mangsa kejadian pecah rumah sejak beberapa tahun lepas.
Ismail berkata, beliau bersama penduduk yang lain mula menubuhkan satu kumpulan WhatsApp yang dinamakan 'Keselamatan AU2' dan disertai ratusan penduduk serta pihak polis yang mengawasi kawasan kejiranan itu pada 2015.
Beliau berkata, penubuhan kumpulan WhatsApp itu bertujuan untuk memudahkan penduduk berkomunikasi dengan berkongsi sebarang maklumat tentang perkara mencurigakan dan masalah yang dihadapi berhubung keselamatan komuniti.
"Sejak persatuan penduduk di sini sering bekerjasama dalam usaha membanteras kes kecurian, tiada lagi kami dengar ada kejadian kes pecah rumah berlaku.
"Mungkin juga kerana kawasan kejiranan ini turut mula aktif melakukan rondaan cegah jenayah Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) di bawah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) secara berkala," katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata penduduk yang melakukan rondaan di kawasan perumahan itu juga mengeluarkan notis peringatan kepada penduduk yang selalu terlupa mengunci rumah dan sebagainya. 
Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Seri Gombak A, Abdul Hamid Mohamed Yusof berkata, beliau tidak menyangka KRT Taman Seri Gombak A, yang tidak mempunyai sebarang aktiviti sejak kira-kira 10 tahun lalu kembali aktif selepas beliau bersama penduduk yang lain menubuhkan badan 'Warga Prihatin Seri Gombak' (WPSG), Mei tahun lepas.
"Melalui persatuan ini, kami telah mengadakan pelbagai aktiviti termasuk rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan perumahan yang dianggotai 40 penduduk dan polis.
"Kami juga berkomunikasi menerusi dua kumpulan aplikasi WhatsApp yang disertai 600 penduduk untuk memaklumkan sebarang kejadian jenayah atau perkara yang mencurigakan untuk diambil tindakan...ini merupakan usaha kami untuk mengatasi masalah kes pecah rumah yang berleluasa," katanya ketika ditemui Bernama.
Abdul Hamid yang juga dikenali sebagai 'Papa Black' berkata sebaik menerima maklumat berhubung sebarang perkara mencurigakan dalam pesanan daripada anggota kumpulan WhatsApp, penduduk serta polis yang membaca pesanan itu akan segera bertindak ke lokasi kejadian.
"Setakat ini, banyak kejadian jenayah pecah rumah dapat digagalkan selepas tindakan sebegini diambil," katanya.
"Terbaru, kami bersyukur kerana mempunyai bilik gerakan dan operasi KRT Taman Seri Gombak yang baharu, dilancarkan pada 31 Dis lepas untuk dijadikan tempat berkumpul dan bermesyuarat bagi anggota yang membuat rondaan," katanya.