KOTA BHARU - Kemalangan melibatkan sebuah van yang terbabas di Nilam Puri di sini, petang kelmarin, membongkar kepada penemuan dua ekor lembu dipercayai dicuri sebelum ini.
Walau bagaimanapun, pemandu van terbabit sempat melarikan diri sejurus selepas kemalangan itu.
Dipercayai melalui hasil pengecaman pada warna dan corak di badan lembu dalam van terbabit oleh pemiliknya, disahkan lembu itu merupakan haiwan milikannya.
Kejadian bermula dengan kehilangan van pada 3 Disember lalu, pemandu van meninggalkan kenderaan terbabit berdekatan kawasan kedai di Jalan Pasir Puteh, Kubang Keranji Limbat.
Dia hanya menyedari van yang diparkirnya hilang pada pagi 4 Disember lalu lebih kurang jam 10.30 malam dan didakwa dicuri.
Akibat kejadian itu, pihaknya terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM10,000.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu , hasil semakan terhadap van itu sejurus selepas kemalangan didapati ia pernah dilaporkan hilang dan laporan polis dibuat di Kubang Kerian.
“Hasil siasatan yang dilakukan, lelaki yang melarikan van berkenaan sebelum ini turut menggunakan van itu untuk melarikan dua ekor lembu terbabit yang dipercayai dilarikan hasil semakan laporan yang dibuat di Selising, Pasir Puteh.
“Penemuan lembu itu turut membongkar kes kecurian lembu dan kita jalankan siasatan lanjut untuk tindakan susulan,” katanya.