KLUANG - Ahli Kelab Memanah Tok Jani (TJAC) mencipta kelainan apabila mengadakan majlis perkahwinan bertemakan warisan Melayu tradisional di Kem Massmerah, Kampung Sahari Blok 3, Sabtu lalu.
Majlis bersejarah itu dihadiri kira-kira 1,500 jemputan bagi meraikan pasangan pengantin, Muhammad Uzzair Mohd, 23, dan Yusniza Yusof, 26.
Menurut Muhammad Uzzair, majlis perkahwinan berkonsepkan warisan Melayu tradisional itu merupakan ideanya bersama bapa serta ahli kelab TJAC.
Bagaimanapun, pada awalnya dia tidak menjangkakan majlis sambut menantu itu akan menjadi meriah dan mendapat perhatian berikutan ia pertama kali diadakan di kem berkenaan.
“Tema ini dipilih kerana saya dan isteri mempunyai minat yang sama iaitu memanah, malah perkenalan kami juga bermula semasa masing-masing menyertai pertandingan memanah di Perak.
“Saya sendiri sememangnya mengimpikan perkahwinan seperti ini di mana jemputan yang hadir khususnya ahli kelab memanah di seluruh negeri memakai busana Melayu,” kata anak sulung daripada dua beradik berasal dari Simpang Renggam itu.
Muhammad Uzzair yang juga anak kepada Pengerusi TJAC Kem Massmerah berkata, ketika majlis berlangsung, dia bersama isteri diarak sepertimana pengantin lain tetapi apabila masuk ke dalam kem dia terus dibawa meluncur ‘flying fox’ sambil membuat aktiviti memanah menggunakan busur di kawasan tasik Kem Massmerah.
Manakala, isterinya dibawa menaiki perahu sementara menanti Muhammad Uzzair selesai menyempurnakan gimik memanah di tasik.
“Aktiviti tersebut merupakan kenangan terindah dalam diri saya dan isteri kerana selepas menyempurnakan aktiviti memanah saya terus ke tempat isteri untuk menyarungkan cincin.
“Majlis diteruskan dengan persembahan silat dan dibawa berarak melalui bawah busur serta memanah bersama ahli-ahli kelab. Semua yang dirancang menjadi kenyataan dan ia akan diabadikan sehingga akhir hayat,” katanya yang sudah dua tahun terlibat dalam aktiviti memanah
.