MEXICO CITY - MEXICO . Seorang lelaki yang dipercayai manusia paling gemuk di dunia akan menjalani pembedahan pintasan gastrik awal tahun baharu bagi mengurangkan separuh daripada berat badannya kini iaitu 590kg.
Lelaki yang dikenali sebagai Juan Pedro mengidap kencing manis, tekanan darah tinggi dan paru-paru kronik yang memerlukannya untuk mengurangkan berat badan secara mendadak bagi mengurangkan risiko kesihatan, kata doktor Jose Castaneda Cruz.
Katanya, lelaki itu akan menjalani beberapa siri prosedur pembedahan.
"Pembedahan akan dilakukan dalam dua bahagian. Hal ini kerana dia berdepan risiko komplikasi yang tinggi," kata Jose dipetik AFP.
Pada prosedur pertama, pakar bedah akan mengeluarkan lebih daripada tiga suku daripada perut pesakit manakala prosedur kedua pula, sebahagian perut yang masih tinggal akan disekat bagi membantunya merasakan perutnya sentiasa penuh
Menurut doktor, Juan Pedro turut akan menjalani pembedahan usus.
Jose mahu dia kehilangan 59 kg dalam tempoh enam bulan pertama untuk mengurangkan risiko terhadap kanser berkaitan obesiti sebanyak 52 peratus.
Juan Pedro, 32, mempunyai peluang yang baik untuk kehilangan separuh berat badannya dalam tempoh kira-kira enam bulan selepas pembedahan pertama, menurut pasukan perubatannya.
"Perlahan-lahan tetapi pasti, saya akan mencapainya," Juan Pedro kepada pemberita.