Wednesday, December 21, 2016

KWSP Shariah Dapat Sambutan Menggalakkan




KUALA LUMPUR: Akaun Simpanan Shariah oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), meraih sambutan menggalakkan sejak permohonan untuk akaun itu dibuka 8 Ogos lepas.
Menurut KWSP, setakat ini, lebih 300,000 ahli badan itu telahpun memilih akaun itu yang akan mula dilaksanakan 1 Januari 2017.
"Pendaftaran masih dibuka sehingga 23 Dis ini. Elakkan pendaftaran pada saat-saat terakhir," kata KWSP.
Ahli yang berminat untuk memohon perlu mengunjungi kaunter KWSP terdekat bagi tujuan pengesahan identiti ahli menerusi cap ibu jari.
"Selepas itu ahli boleh mengakses Simpanan Shariah melalui i-Akaun seperti biasa dan ahli juga tidak perlu memaklumkan kepada majikan mengenai pertukaran jenis akaun," katanya.
Akaun Simpanan Shariah akan diuruskan berdasarkan Akad Wakalah; iaitu menerusi Lembaga KWSP yang telah dilantik dan diamanahkan untuk bertindak bagi pihak ahli dalam memastikan pengurusan dan pelaburan simpanan mereka adalah mengikut shariah.
Meskipun berkonsepkan shariah, semua ahli KWSP tanpa mengira agama, bangsa dan status warganegara boleh memilih akaun itu.  Bagaimanapun setiap ahli hanya dibenarkan untuk memiliki satu jenis akaun sahaja, iaitu sama ada Simpanan Konvensional atau Simpanan Shariah.
Sehubungan dengan penubuhan akaun itu, KWSP juga telah mewujudkan Jawatankuasa Penasihat Shariah (JKPS), yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang shariah termasuk dari aspek perbankan, kewangan, undang-undang dan disiplin lain yang berkaitan.
Jawatankuasa inilah yang berkuasa dalam menentukan dan memberi nasihat mengenai perkara berkaitan shariah berhubung akaun berkenaan.
Pada masa ini JKPS dianggotai Pengarah Eksekutif Akademi Penyelidikan Shariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA) Profesor Dr. Mohamad Akram Laldin sebagai pengerusi, Pensyarah Institut Perbankan dan Kewangan Islam Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr. Aznan Hasan dan pensyarah Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan UIA Dr. Zaharuddin Abdul Rahman.
Menurut KWSP, strategi pelaburan yang akan dijalankan adalah berteraskan Alokasi Aset Strategik (SAA) dengan objektif untuk memberi nilai tambah kepada wang simpanan ahli, di samping melindungi nilai wang simpanan.
"Pihak kami juga mempunyai garis panduan dan polisi pelaburan yang memenuhi mandat etika di mana KWSP tidak membuat pelaburan dalam sektor-sektor yang menggalakkan perjudian, senjata untuk peperangan, arak dan hiburan tidak patuh shariah," katanya.
Selain itu, bagi memastikan akaun Simpanan Shariah itu kekal statusnya sebagai patuh shariah, KWSP akan turut mewujudkan rangka kerja tadbir urus shariah yang komprehensif.
Langkah ini bagi memastikan operasi dan aktiviti pelaburan Simpanan Shariah mematuhi garis panduan dan parameter pelaburan patuh shariah yang diluluskan oleh JKPS KWSP.
JKPS juga akan memberikan pernyataan dan laporan pematuhan shariah berkaitan Simpanan Shariah bagi setiap tahun kewangan sebagai sebahagian daripada keperluan tadbir urus korporat KWSP.
Tarikh kuat kuasa akaun bagi ahli yang telah membuat pilihan Simpanan Shariah adalah tertakluk kepada peruntukan dana patuh shariah tahunan yang akan diperoleh ahli berdasarkan giliran (first-come first-served basis), serta syarat-syarat lain yang ditentukan oleh pihak Lembaga KWSP.
Tarikh kuat kuasa pilihan adalah pada 1 Jan mengikut tahun peruntukan dana patuh shariah tahunan yang diluluskan kepada ahli. 
"Bagaimanapun sekiranya pendaftaran Simpanan Shariah telah memenuhi kuota dana yang diperuntukkan pada tahun tersebut, ahli yang telah membuat pilihan untuk akaun tersebut tetapi belum berjaya memperoleh peruntukan dana, perlu menunggu dana patuh shariah untuk tahun seterusnya," jelas sumber.
Bagi tujuan pengeluaran, peraturan masih mengikut yang sedia ada dan wang pengeluaran boleh digunakan untuk pembiayaan pinjaman perumahan konvensional ataupun Islamik.
Ahli juga masih tertakluk kepada proses pemindahan wang di bawah pengeluaran Simpanan Pelaburan Ahli (SPA) yang berkuat kuasa. 
"Namun bagi ahli yang memilih Simpanan Shariah dan memohon untuk kreditnya dipindahkan untuk pelaburan dalam institusi pengurusan dana (IPD), ahli hanya dibenarkan untuk melabur dalam dana amanah patuh shariah sahaja yang diluluskan oleh KWSP," katanya.
Selain itu tanggungjawab pihak majikan masih tertakluk pada peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah caruman sedia ada.
"Tiada sebarang kos tambahan akan dikenakan ke atas majikan sekiranya pekerja mereka ingin memilih Simpanan Shariah dan majikan juga tidak perlu membuat pembayaran caruman secara berasingan.
"Hanya perlu mengisi borang A seperti proses sedia ada. Tiada borang tambahan atau perubahan yang perlu dibuat oleh majikan," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: