BINTANG bola sepak terkenal, Cristiano Ronaldo telah menyampaikan sebuah pesanan khas buat kanak-kanak Syria.
Menerusi sebuah paparan video yang dimuatnaik dan disebar oleh laman Facebook AJ+, Ronaldo berpesan kepada kanak-kanak Syria supaya terus bertahan dengan pergolakan dan konflik peperangan yang melanda negara tersebut.
“Hello. (Video) ini khas untuk kanak-kanak di Syria. Kami tahu yang kamu semua sudah banyak menanggung derita.
“Saya memang pemain yang terkenal, tetapi kamu semua adalah hero yang sebenar,” katanya menerusi sebuah video berdurasi 49 saat itu.
Paparan video tersebut telah ditonton lebih 4.9 juta pelayar Facebook setakat ini dan angka dijangka terus meningkat.
Ronaldo dalam masa sama turut berharap agar kanak-kanak di sana tidak putus harapan dengan hari yang akan mendatang.
“Dunia bersama kamu semua. Kami sangat ambil berat tentang kamu semua. Saya bersama dengan kamu semua,” katanya lagi.