SABAK BERNAM - Jika anda peminat barangan antik, Mini Muzium Wak Surgi yang terletak di Taman Setia Jaya, Sungai Besar adalah destinasi terbaik yang wajib anda singgah.
Mini muzium persendirian yang dibuka secara percuma kepada orang ramai itu mempunyai pelbagai barangan lama termasuk alatan senjata tradisional.
Menurut Penyelaras Mini Muzium Wak Surgi, Dr Mohd Hisham Surgi, muzium itu dibangunkan oleh bapanya, Surgi Gharib, 72, seorang pesara kerajaan di Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam yang gemar mengumpul barangan lama sejak masih bersekolah hingga bersara.
“Bapa seorang yang kreatif dan ini dapat dilihat melalui beberapa replika ciptaannya, seperti peti nyanyi, kapal terbang tentera dan helikopter.
“Selain itu, dia juga mengumpul gambar-gambar lama yang ditemui untuk dipaparkan atau dicetak semula,” katanya.
Menurutnya, antara koleksi barangan antik yang terdapat di muzium itu seperti barangan kamera, projektor wayang gambar, ratusan keping piring hitam lagu-lagu Melayu, Hindustan dan Arab, pelbagai jenis mesin taip, alat-alat perhubungan telefon dan alat rakaman suara.
Malah alat senjata tradisional, perkakas kerja pertanian, sampan pengangkutan, serpihan barangan tembikar, pakaian tradisional Melayu dan juga buku-buku cerita serta buku teks zaman ‘Sekolah Melayu’ serta pelbagai majalah lama turut dapat ditemui di sini.
Beliau berkata, hasil usaha bapanya yang membangunkan muzium itu juga turut menjadi rujukan penuntut universiti bagi mendapatkan pelbagai bahan atau buku-buku serta manuskrip lama yang masih disimpan sehingga ke hari ini.
"Dengan adanya muzium ini secara tak langsung ia menjadi satu pusat rekreasi dan penyelidikan kepada orang ramai di Sabak Bernam dan di luar daerah ini untuk tenangkan fikiran dengan membawa keluarga selepas waktu bekerja dan cuti hujung minggu,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, muzium itu kini yang telah menjalani proses naik taraf itu dijangka akan menarik lebih ramai pengunjung terutama bagi peminat antik di seluruh negara.
"Sebanyak RM20,000 diperuntukkan bagi kerja membaik pulih meliputi bumbung, pendawaian elektrik, pemasangan jeriji besi tingkap dan pintu serta mengecat bangunan.
“Manakala RM10,000 lagi digunakan bagi pembelian barangan perabot dan almari kaca...kita sudah menempah semua barangan tersebut kepada sebuah syarikat perabot,” katanya yang memaklumkan muzium itu sebelum ini turut menerima peruntukan daripada bekas Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon.