MARANG - Hadiah tunai keseluruhan hampir RM40,000 ditawarkan kepada peserta Karnival Memancing Perpaduan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela Pengkalan Berangan di Kolam Wahee Ngail, Kubu, esok.
Karnival turut mendapat kerjasama Sinar Harian itu menyediakan sebanyak 20 hadiah cabutan bertuah dan peserta diminta mendaftar awal bermula jam 11 pagi pada hari pertandingan.
Timbalan Pengerusi KRT Pengkalan Berangan, Mazlan Muhamad, 45, berkata, juara akan membawa pulang tunai RM15,000, naib juara (RM3,000), ketiga (RM1,500), keempat (RM700), kelima (RM500) dan keenam (RM300).
Menurutnya, penganjur turut menyediakan hadiah RM200 setiap satu bagi pemenang tempat ketujuh hingga ke-50 bagi memberi peluang kepada lebih ramai kaki pancing untuk memenangi hadiah wang tunai.
"Ini karnival terakhir pada tahun ini. Sebanyak empat kolam ikan terdapat di situ yang mampu menampung hampir 2,000 kaki pancing.
"Kaunter pendaftaran dibuka pada jam 11 pagi Jumaat ini sehingga pertandingan bermula pada jam 3.30 petang dan dijangka berakhir tepat jam 6.30 petang,” katanya, semalam.