Wednesday, December 28, 2016

Bunkface X - Life In KL 2016, Konsert Yang Sempurna



Vokalis kumpulan Bunkface Sam memberi persembahan bertenaga.
KUALA LUMPUR: Konsert Bunkface X (Life In Kuala Lumpur 2016) boleh disifatkan antara konsert yang sempurna berdasarkan aspek teknikal termasuk kesan bunyi dan pencahayaan yang memuaskan selama dua jam ia berlangsung.

Mengambil pengajaran pada kekurangan konsert yang pernah dianjurkan sebelum ini, vokalisnya Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd Baharom, 28, berkata, dia percaya perkara itu menjadi anjakan untuk kejayaan konsert bersempena 10 tahun mereka di dalam seni komersil ini dilihat sempurna.

Seramai 4,000 peminat dari tiga negara termasuk Brunei dan Singapura membanjiri ruang legar Stadium Chin Woo Kuala Lumpur, pada Sabtu sekali gus membuktikan pengaruh Bunkface dalam aliran muzik yang diperjuangkan mereka sememangnya mampu mencetus fenomena tersendiri.

Pentas dibuka tepat pada jam 8.30 malam menerusi lagu Malam Ini Kita Punya sebelum diteruskan dengan lagu Bunk Anthum, Extravaganza, Sodier, Kita Perang serta madley Rentak Laguku dan Gadisku.

Bunkface terus menghangatkan pentas dengan lagu High School Rocker, Silly Lilly, Prom Queen dan Bunk Not Dead.

Lebih menarik, seorang penonton bertuah dijemput ke pentas untuk sama-sama menyanyikan sebuah lagu bersama anggota kumpulan itu.

Untuk segmen akustik, lagu Agenda Jahiliah, Jatuh, Dunia, You And Me dan Kembali mewarnai pentas dengan menerapkan mesej-mesej kemanusiaan yang dipaparkan dalam format klip video pada latar skrin pentas.

Artis jemputan iaitu Amir Jauhari turut hadir memeriahkan pentas menerusi lagu Orang Kita (ft. Bunkface) sebelum lagu Darah Muda, Panik dan Masih Di Sini terus memukau penonton.

Lagu berhantu Bunkface iaitu Revolusi dan Situasi menjadi lagu penutup yang pasti meninggalkan seribu satu kenangan manis buat peminat kumpulan ini.

Dalam pada itu kata Sam, sebagai bonus untuk peminat, Bunkface turut melancarkan album kompilasi berjudul Bunkface X sebagai tanda terima kasih kepada pengikut setia mereka.

Bunkface X (Live In KL 2016) merupakan konsert anjuran Bunkface Production Sdn Bhd dengan kerjasama Universal Music Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: