SELEPAS dua bulan bercuti untuk memberi tumpuan kepada majlis perkahwinannya, pelakon cantik, Amyra Rosli mengakui kini kembali sibuk merencana kerjaya seninya.
Meskipun sudah bergelar isteri, Amyra bagaimanapun tidak pernah menjadikan status tersebut sebagai penghalang untuk terus aktif dalam kerjaya seni.
"Baik sebelum mahupun selepas berkahwin, Amar tidak pernah menghalang atau memberi bayangan bahawa saya perlu meninggalkan dunia lakonan bagi memberi tumpuan kepada rumah tangga," katanya.
Amyra berkata, bidang seni adalah sumber rezeki mereka dan tiada sebab untuk dia berhenti, sementelah suami pula sentiasa memberi sokongan.
"Walaupun dah berkahwin, saya dan Amar akan bekerja seperti biasa dan tiada yang berbeza. Apa yang penting baik saya mahupun Amar perlu menjaga batas-batas sebagai isteri atau suami," katanya.
Mengakui berdepan jadual kerja yang begitu padat terutama menjelang tahun 2017, kata Amyra, dia dan Amar cuba mengurus masa sebaik mungkin.
"Saya bertuah kerana Amar sangat memahami dan saling menyokong dalam apa sahaja yang saya lakukan terutamanya membabitkan kerjaya.
"Kami sepakat cuba mengelak bekerja pada hujung minggu kecuali untuk perkara yang perlu sahaja.
"Insya-ALLAH, saya akan cuba menyusun jadual sebaik mungkin bagi memastikan hujung minggu kami dapat diluangkan bersama," katanya.
Bagaimanapun, menurut Amyra,  dia dan Amar akan memastikan jadual yang dirancang tidak  menyusahkan pihak lain.

Belajar vokal
Pelakon yang kini sedang hangat dengan drama Isteri Tuan Ihsan ini, baru sahaja tampil dengan single keduanya, Kisah Cinta Kita ciptaan DJ Fuzz.
"Single ini cukup istimewa kerana lagu duet saya bersama suami dan ada kaitan dengan kisah kami.
"Saya tidak meletakkan sebarang target untuk lagu ini sebagaimana single pertama dulu. Biarlah peminat sendiri yang menilai sama ada mereka suka atau tidak lagu tersebut," katanya.
Bagaimanapun, Amyra mengakui tidak bersikap sambil lewa sebaliknya menunjukkan untuk memperbaiki kualiti nyanyiannya dengan belajar vokal.
"Saya bukan dilahirkan sebagai penyanyi malah langsung tiada ilmu dalam bidang nyanyian, jadi saya perlu berusaha lebih  dengan belajar vokal dan sebagainya bagi memantapkan pengetahuan dalam bidang ini.
"Saya tahu kita ada ramai penyanyi yang hebat dan tidak terfikir pun mahu jadi seperti mereka, cuma inisiatif yang saya buat ini adalah untuk diri sendiri," katanya yang masih belajar vokal dengan Amelia AF ini.
Selain sibuk dengan aktiviti seni, Amyra juga kini sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dan baru sahaja dilantik sebagai pengasas bersama untuk projek kilang kosmetik JenamaSendiri.Com.
"Alhamdulillah saya anggap ini sebagai rezeki selepas kahwin dan dalam  masa yang sama melihat ia sebagai peluang untuk  menimba pengalaman baru..
"Saya bersetuju untuk bersama JenamaSendiri.Com kerana melihat misi positif mereka yang mahu membantu bakal usahawan yang berminat untuk lebih berjaya dalam bidang perniagaan kosmetik," katanya.

Pengasas bersama
JenamaSendiri.Com merupakan pelopor dalam pembuatan kosmetik dan pengilang No.1 di Malaysia yang menghasilkan pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa.
Sebagai seorang artis yang mempunyai personaliti menawan, pemilihan Amyra sebagai pengasas bersama projek ini  bertujuan menarik perhatian rakyat Malaysia khususnya bakal usahawan Melayu menceburi bidang kosmetik yang kini sedang berkembang maju.
"Saya akan membantu di bahagian pemasaran dan promosi untuk memberitahu orang ramai tentang kelebihan projek ini sekali gus membantu mereka yang berminat.
"Insya-ALLAH, suatu hari nanti kalau ada rezeki saya juga berhasrat  menceburi perniagaan ini kerana sejak dari dulu lagi saya cukup cukup teruja dengan kosmetik," katanya yang menandatangani kontrak selama setahun.