BUKIT JALIL – Tambang pergi dan balik ke hospital hanya 10 sen!. Itu inisiatif Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia yang memperkenalkan Program Teksi 10 sen khusus untuk digunakan pesakit berpendapatan rendah.
Menerusi program itu, mereka yang berdaftar hanya perlu membayar 10 sen bagi menggunakan perkhidmatan kereta jenis Toyota Avanza  yang diubahsuai dan kini mula dilaksanakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Jalil serta Pangsapuri Enggang Bandar Kinrara.
Pengerusi CP Malaysia, Kuan Chee Heng berkata, beliau berterima kasih kepada rakyat negara ini dan Persatuan Kebajikan Automotif Kuala Lumpur dan Selangor (Kuasa) yang memberi sumbangan hingga program berjaya direalisasikan.
Katanya, sebelum ini pesakit  berpendapatan rendah di pangsapuri berkenaan perlu berjalan kaki ke hentian bagi menggunakan perkhidmatan bas atau teksi dan membayar tambang yang agak mahal ke hospital terletak di Kuala Lumpur, Ampang atau Serdang.
Dengan adanya Program Teksi 10 sen golongan tersebut katanya, dapat dibantu sekaligus meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan.
“Sekarang ni sudah ada 10 keluarga yang mendaftar di PPR Bukit Jalil, perkhidmatan ini hanya membawa mereka ke hospital untuk membuat pemeriksaan dan  rawatan susulan.
“Buat permulaan ia dilaksanakan di PPR Bukit Jalil dan pangsapuri kos rendah Enggang, BK6, kalau ada keperluan mungkin kita cuba usahakan di  tempat lain pula,”katanya pihaknya membayar gaji pemandu teksi berkenaan menggunakan wang hasil sumbangan orang ramai.
Sementara itu, S Suppammah, 66, berkata, dia seronok dipilih menjadi penumpang dalam program berkenaan.
Dia yang menghidap sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi sebelum ini ke hospital menggunakan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT).
“Sekarang kaki saya pun tak berapa kuat susah nak berjalan jauh ke hentian bas dan LRT.
“Sebelum ni saya perlu sediakan tambang RM9 untuk ke hospital, sekarang seronoklah dapat naik teksi ni dengan bayar 10 sen saja,”katanya.
Norasmah Muhammed, 51, berkata, sebelum ini dia terpaksa menanggung kos hampir RM100 untuk tambang teksi perjalanan pergi balik ke hospital di Ampang.
“Saya kena pergi hospital sekali seminggu…memang tak mampu kadang-kadang. Saya bersyukur sangat dapat sertai Program Teksi 10 sen ni,”katanya.
Sementara itu Setiausaha Kuasa, Kevin Neon berkata, pihaknya kebetulan mahu membuat sumbangan kenderaan kepada pihak yang memerlukan.
Katanya, dia bertemu  Chee Heng dan menyatakan persetujuan apabila dimaklumkan sumbangan  bakal digunakan untuk program itu.
“Kami pun tak pernah terfikir boleh buat program sebegini…lepas cat dan baiki kenderaan kita sumbangkan kepada CP untuk kegunaan program itu.
“Semoga ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.