PELAKON dan pengarah Syamsul Yusof patah bahu kiri ketika menjalani pengambaran filem Makrifat Cinta kelmarin.
Menurut Syamsul,32, kejadian berlaku sekitar 6.30 petang ketika melakonkan aksi letupan untuk naskhah terbitan Dhanawood Films Sdn Bhd.
Bagaimanapun, dia dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan di sebuah hospital di ibu negara.
Kata Syamsul, aksi yang dilakukannya itu tidaklah susah dan biasa dilakukan dalam beberapa lakonan sebelum ini seperti dalam KL Gangster dan babak berkenaan tidak memerlukan pelakon lagak ngeri.
"Ketika kejadian, saya sedang melakonkan aksi melutut di tanah dan di hadapan saya pula pelakon Nora Danish yang sedang terbaring.
"Ketika berlaku aksi letupan di belakang, impak itu membuatkan badan saya melambung ke hadapan dan saya pula sempat mengelak daripada terjatuh menghempap Nora.
"Ketika itulah pergerakan badan saya tidak begitu stabil menyebabkan bahu saya terjatuh terlebih dulu. Ia menyebabkan rasa sakit yang amat sangat," katanya dipetik BHOnline.
Syamsul berkata, doktor mengesahkan bahunya patah dan retak di belah kiri.
"Sepatutnya saya direhatkan di hospital, tetapi saya meminta izin untuk berehat di rumah saja. Saya turut dinasihatkan agar tidak melakukan banyak pergerakan," ujarnya lagi.