PERKEMBANGAN perniagaan secara atas talian yang kian mendapat tempat di hati pengguna media sosial kini membuka mata penyanyi Shiha Zikir atau nama sebenarnya, Nurshiha Binti Mohd Zikir untuk turut sama aktif dalam perniagaan itu.
Bekas peserta yang mewakili Malaysia dalam program D’Academy Asia 2015 ini, optimis untuk mengembangkan peniagaan kanta lekapnya kerana berpendapat selain berurus niaga, secara tidak langsung dia juga dapat berkomunikasi dengan peminatnya, khususnya di Instagram.
“Selain menyanyi, saya juga gemar berniaga dan memang aktif menjual item kecantikan secara kecil-kecilan.
"Idea timbul untuk melancarkan kanta lekap pelbagai warna atas label sendiri iaitu Shiha Lens sejak beberapa bulan lalu dan membuatkan semangat saya berkobar.
“Selain menyanyi, visi saya adalah  berjaya dalam bisnes,” katanya.
Bagi peminat yang mahu mendapatkan kanta lekap jenama tersebut, mereka boleh singgah di instagram@shihalens.
Bintang kelahiran Pulau Pinang ini juga terharu atas penerimaan single terbarunya, Seperti Novel Cinta di Malaysia.
Beritahunya lagi, biarpun lagu tersebut tidaklah 'boom' seperti lagu hits semasa yang lain, namun sekurang-kurangnya perjuangannya selama ini kian menampakkan hasil positif.
“Lebih lima tahun dalam dunia seni,  pelbagai dugaan saya lalui. Saya tidak rasa ralat andai lagu-lagu terdahulu kurang mendapat tempat di kalangan pencinta muzik tempatan, mungkin rezeki dan tuah itu belum datang.
“Setelah menyertai program D’Academy Asia tahun lalu, rezeki untuk membuat penampilan di kaca TV dan melakukan persembahan begitu baik dan semoga sokongan ini akan berterusan sampai bila-bila,” tambah Shiha lagi.
“Namun kini saya terharu dan syukur kerana penangan lagu Seperti Novel Cinta cukup baik di Malaysia dan pastinya menjadi penanda aras untuk saya mencari lagu yang lebih baik, berkualiti pada masa depan,” terang Shiha yang bakal muncul dengan sebuah lagu duet tidak lama lagi.
Shiha baru-baru ini turut diundang khas untuk membuat persembahan di Indonesia Dangdut Awards 2016 di Jakarta.