STATUS Taman Tasik Inspirasi dijawab Menteri Besar, kawasan itu belum diserahkan kepada kerajaan negeri
Pendedahan Sinar Harian berhubung taman tasik terbiar yang terletak dalam kawasan Kompleks Pendidikan Nilai, Bandar Enstek, Seremban pada 17 November lalu, pastinya masih segar dalam ingatan pembaca.
Menerusi laporan tersebut, pihak Majlis Perbandaran Nilai (MPN) dan THP Development Sdn Bhd (THP) tegas menafikan Taman Tasik Inspirasi bukan berada di bawah jagaan mereka.
Situasi itu menimbulkan pelbagai persoalan sehingga mendapat desakan daripada Adun Labu, Datuk Hasim Rusdi yang mahu pihak bertanggungjawab tampil segera untuk mengambil langkah sewajarnya.
Beliau ingin melihat kawasan terbabit yang satu masa dahulu pernah menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah serta lokasi pengantin merakamkan kenangan terindah sebagai raja dan ratu sehari, dibaik pulih.
Bagaimanapun, wartawan Sinar Harian, KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB enggan berputus asa dan terus menyelongkar demi merungkai kebenaran membabitkan pemilikan sebenar terhadap taman tasik berkenaan yang dipercayai wujud sejak tiga tahun lalu.
Memandangkan MPN dan THP sudah lepas tangan, kini tumpuan masyarakat mula terarah kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Kalau difikirkan, masuk akal juga memandangkan jarak antara Politeknik Nilai dengan kawasan taman tasik terbiar yang sememangnya berhampiran.
Namun, dakwaan itu segera disangkal Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP), Putrajaya menerusi satu kenyataan rasmi kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Menurut JPP, Kompleks Pendidikan Bandar Enstek adalah di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Kementerian Pendidikan (KPM).
“JPNS telah beberapa kali mempengerusikan mesyuarat bersama institusi pendidikan di Kompleks Pendidikan Bandar Enstek bagi membincangkan isu berkaitan dengan kompleks pendidikan.
“Sepanjang mesyuarat diadakan, JPNS tidak pernah menyatakan Taman Tasik Inspirasi di bawah pengurusan Politeknik Nilai.
“Justeru, Taman Tasik Inspirasi bukan milik Politeknik Nilai dan keseluruhan kawasan Politeknik Nilai adalah berpagar,” katanya.
Pada masa sama, katanya, Politeknik Nilai juga tidak pernah menggunakan kawasan taman tasik terbabit untuk sebarang aktiviti rasmi pelajarnya.
“Setakat ini tiada surat, makluman atau dokumen rasmi yang menyatakan Taman Tasik Inspirasi diletakkan di bawah penyeliaan Politeknik Nilai, walaupun jarak kedua-dua tempat ini adalah berhampiran,” katanya.
Mengulas serba-sedikit latar belakang Kompleks Pendidikan Bandar Enstek yang turut dikenali dalam kalangan warga tempatan sebagai Kompleks Pendidikan Nilai, katanya, kompleks tersebut diwujudkan di bawah KPM bagi lima institusi pendidikan.
“Insititusi pendidikan terbabit adalah Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Institut Aminuddin Baki (IAB), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Teknik, Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) dan Politeknik Nilai.
“Pada awal kewujudan Kompleks Pendidikan Bandar Enstek, Politeknik Nilai di bawah pentadbiran KPM. Tapi mulai tahun 2015, Politeknik Nilai secara rasminya diletakkan di bawah KPT,” katanya.
MB pernah buat teguran
Puas hati dengan jawapan dikemukakan JPP, Sinar Harian seterusnya cuba mendapatkan penjelasan daripada Kerajaan Negeri Sembilan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kawasan taman tasik terbiar yang terletak berhampiran Politeknik Nilai dan TKC itu sebenarnya masih belum diserahkan kepada kerajaan negeri.
“(Setakat ini) masih lagi (berada pada) peringkat pemaju di bawah KPM. Kalau jalan di situ tidak berpotong rumputnya, itu masih lagi di dalam projek pembangunan mereka.
“Situ kita tidak boleh masuk. Dulu saya pernah tegur sebab pernah lalu situ, dalam kawasan tersebut. Mengapa rumput di tepi jalan tidak dipotong semuanya.
“Tapi rupa-rupanya semua projek di kawasan (kira-kira) 1,000 ekar itu belum diserahkan kepada kerajaan tempatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, semalam.