KUANTAN - Seorang juruwang sebuah stesen minyak di Jalan Lim Hoe Lek, di sini menanggung kerugian apabila tidak menyedari menerima dua keping wang RM50 palsu yang dipercayai digunakan pelanggan untuk mengisi petrol, semalam.
Kamarulzaman Shafiani, 32, berkata, akibat penipuan itu dia terpaksa membayar balik wang bayaran petrol pelanggan itu kepada majikan.
Menurutnya, wang kertas palsu itu disedari ketika membuat kiraan kutipan jualan sebelum keluar rehat untuk makan tengah hari.
“Masa buat kiraan, saya dapati dua keping wang RM50 agak mencurigakan kerana tidak mempunyai jalur hologram.
“Wang itu juga tiada imej Yang di-Pertuan Agong pertama pada petak kosong sebelah kiri setelah ditatap menerusi cahaya dan saya mula agak ia wang palsu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Kamarulzaman berkata, salah satu wang palsu itu amat ketara berkualiti rendah apabila gamnya terbuka.
“Saya tengok bahagian depan dan belakangnya dicetak berasingan sebelum dilekatkan menggunakan gam,” katanya.
Dia berkata, ketika menjaga kaunter bayaran dia tidak menyedari menerima wang palsu itu kerana ramai pelanggan dan wang itu juga sekali imbas nampak seperti tulen.
Katanya, itu bukan kali pertama dia menerima wang palsu daripada pelanggan.
“Bulan lepas, saya terkena juga tapi wang kertas RM100 dan memang sukar nak beza terutama bila pelanggan ramai.
“Nak tak nak kenalah saya ganti jumlah wang kertas palsu, sebab ia datang atas kecuaian saya sendiri.
“Laporan polis sudah dibuat dan saya minta orang ramai berhati-hati kerana perkara itu boleh berlaku kepada sesiapa saja terutama peniaga” katanya.