KOTA BHARU - Rakyat seharusnya memberikan sambutan positif kepada banduan termasuk menyokong produk kraftangan yang dihasilkan mereka.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, masyarakat harus memandang positif dengan membeli barangan kraftangan yang dihasilkan golongan banduan.
“Ini bagi meningkatkan keyakinan diri mereka dan tidak disisih masyarakat selepas bebas dari penjara dan dapat memulakan kehidupan baru.
“Jabatan penjara juga bertindak sebagai’ orang tengah’ yang turut memasarkan produk-produk dari penjara di pasaran termasuk di karnival dan pameran yang dapat mempromosikan produk penjara ke peringkat yang lebih meluas,” katanya kepada media di pusat membeli belah Aeon di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Penjara Pahang, Datuk Ab Basir Mohamad.
Jazlan berkata, golongan banduan terbabit perlu diberi perhatian memandangkan ada di antara mereka terpaksa ditahan di penjara bukan atas kesalahan sendiri dan peluang kedua perlu diberikan supaya dapat menjalani kehidupan biasa selepas bebas kelak.    
“Golongan ini apabila berada di penjara, mereka akhirnya kesal dan berazam tidak akan ulangi kesalahan lampau.
“Inilah yang kita ingin lihat supaya golongan banduan dapat kembali kepada masyarakat dan tidak terus menghuni tembok besi dan mengulangi kesalahan lampau,” katanya.