SIBU - Jabatan Hutan Sarawak akan mengeluarkan permit untuk memburu dan memusnahkan buaya-buaya liar dan ganas di 13 batang sungai di negeri ini dalam tempoh terdekat.
Pengarahnya, Sapuan Ahmad berkata, penduduk setempat akan diberi keutamaan bagi memohon serta mendapatkan permit memburu dan memusnahkan buaya-buaya liar di sungai kawasan masing-masing.
Menurutnya, antara sungai yang mempunyai populasi buaya liar tertinggi di Sarawak iaitu sekitar 14 ekor untuk jarak setiap satu kilometer ialah di Batang Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar dan Batang Salak.
Beliau berkata, berdasarkan bancian dilakukan jabatan, terdapat kira-kira 20,000 ekor buaya liar di sungai-sungai di Sarawak.
“Pada persidangan saintis di Afrika Selatan baru-baru ini, lampiran bagi populasi buaya liar di Sarawak telah diturunkan daripada Lampiran 1 kepada Lampiran 2," katanya kepada pemberita semasa menghadiri majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Hutan Sarawak di sini malam tadi.
Ini bermakna buaya-buaya liar di negeri itu kini boleh diburu dan dimusnahkan manakala kulit dan daging pula boleh dijual untuk eksport ke pasaran luar negeri.
“Harga produk siap kulit buaya liar seperti beg tangan, kasut dan tali pinggang boleh mencecah sehingga RM5,000. Manakala dagingnya pula boleh dijual dengan harga sekitar RM38 sekilogram," katanya.
Sarawak mempunyai Ordinan Perlindungan Hidupan Liar sendiri yang digubal pada 1990 untuk melindungi haiwan itu daripada pupus tetapi mengikut Lampiran I, larangan dibuat terhadap penjualan produk buaya yang dibunuh, terutamanya daging dan kulitnya, ke pasaran antarabangsa memandangkan mana-mana transaksi perdagangan antarabangsa dikawal selia oleh Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Flora dan Fauna Liar yang Terancam (CITES).
Sapuan berkata, pihaknya tidak menetapkan kaedah pemburuan tetapi terpulang kepada pemegang permit sama ada menggunakan pancing atau senjata api dan mereka perlu mencari sendiri pembeli buaya-buaya yang mereka tangkap dan musnahkan itu.
Beliau menerangkan, pihaknya hanya membenarkan aktiviti pemburuan dan pemusnahan buaya-buaya liar yang mempunyai populasi 14 ekor untuk jarak setiap satu kilometer sungai.  
Pemburuan buaya di sungai yang populasi buayanya adalah rendah tidak dibenarkan.
Menurutnya, pertambahan populasi buaya-buaya liar di negeri ini boleh mencecah sehingga 500 ekor dalam tempoh enam tahun memandangkan seekor buaya boleh menghasilkan sebanyak 80 biji telur.
“Mengikut bancian yang dibuat di Kuching Woodland pada tahun 2008 terdapat 313 ekor tetapi pada tahun 2014 populasi buaya liar di situ meningkat kepada 800 ekor,” jelasnya.