JENGKA - Gelaran warga emas bukan halangan bagi Harun Salleh dan Wan Asma Wan Awang, masing-masing berusia 76 tahun untuk merasai pengalaman bergelar raja sehari.
Wan Asma yang juga ibu kepada enam anak, 22 cucu dan lima cicit berkata, apa yang penting keluarga kedua-dua belah pihak merestui dan sama-sama meraikan detik-detik istimewa perkahwinannya.
"Tujuan makcik dan pakcik berkahwin untuk memiliki teman hidup di usia tua ini. Lebih kepada untuk ada penjaga, untuk teman berbual dan mengadu sakit. Orang tua-tua kahwin bukan untuk harta benda atau apa-apa.
"Makcik dan pakcik masing-masing ada kehidupan sendiri. Rumah dah ada. Pendapatan dah ada. Yang tak ada cuma teman hidup. Kalau sakit tak nak susahkan anak-anak," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Felda Jengka 18, di sini.
Menceritakan detik perkenalan mereka, Wan Asma yang lebih dikenali dengan jolokan Mak Wan berkata, usaha menjodohkan mereka datang daripada seorang penduduk Jengka 18, Mat Yasin yang kebetulan mengenali Harun.
"Pak Mat bawa pakcik Harun datang rumah Makcik bulan Ogos lepas. Pertama kali jumpa makcik dah suka pakcik. Dia baik, peramah malah anak-anak juga menyambut baik perkenalan kami.
"Apabila kedua-dua keluarga dah setuju kami terus tetapkan perkahwinan," katanya yang mengalami sedikit kesulitan proses dokumentasi perkahwinan.
Menurut Mak Wan beliau perlu mengangkat sumpah di mahkamah terlebih dahulu serta mengemaskini surat beranak kerana ia telah terlalu lama dalam rekod tanpa kemas kini.
Majlis yang asalnya direncanakan sebagai kenduri tahlil buat arwah suami Mak Wan menjadi meriah dan besar dengan kehadiran tetamu dan ahli keluarga pihak lelaki yang membawa empat dulang hantaran serta sebentuk cincin dan tunai RM2,000 sebagai wang hantaran.
"Apapun makcik bersyukur semuanya berjalan lancar dengan baik. Sebelah pagi acara bacaan yasin dan tahlil buat arwah suami dan tengahari pula majlis perkahwinan dan potong kek. Semuanya anak-anak tolong uruskan," katanya.
Kedua-dua pengantin berasal dari Terengganu ini menetap di Wilayah Jengka sejak lebih 30 tahun lalu. Mak Mah kematian suami pada tahun 2014 manakala suaminya Harun yang memiliki lapan anak kematian isterinya setahun lalu.
Majlis di sebelah pihak lelaki dijadualkan pada 5 November ini di Felda Jengka 20.