PERJALANAN gadis manis berusia 23 tahun ini di dalam industri seni boleh dikategorikan masih hijau.
Namun, walaupun masih setahun jagung, pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman ini sudah membuktikan dia bukan hadir atas pakej rupa paras semata-mata.
Tidak hanya mempunyai bakat di dalam bidang lakonan, Mira Filzah membuktikan dia juga berbakat di dalam bidang pengacaraan.
Biarpun belum meletakkan sebarang keutamaan dalam karier seninya, Mira berkata, dia masih mencari kesesuaian dan pada masa sama menimba ilmu sebaik mungkin.
"Tidak dinafikan, sejak awal lagi, saya memang meminati bidang pengacaraan. Cuma rezeki di dalam bidang lakonan yang datang dahulu.
"Jadi bila saya dapat peluang mengacara dan berlakon dalam masa yang sama, saya anggap ia sebagai satu proses pembelajaran.
"Saya belum meletakkan mengacara atau lakonan sebagai keutamaan.
"Biarlah masa yang menentukan, lapangan mana yang lebih sesuai untuk saya.
"Sementara waktu ini, saya mahu ambil ilmu sebanyak mungkin untuk digunakan pada masa hadapan," katanya kepada Media Hiburan.
Bakal menjadi pengacara bersama Alif Satar menerusi Anugerah Skrin 2016, 18 November depan dan dalam masa sama menjadi pengacara untuk program 3 Juara di TV3, Mira berkata, dia menganggap semua itu sebagai rezeki.
"Selepas saya mengacarakan Anugerah Bintang Popular yang lalu, tawaran mengacara memang banyak yang saya dapat.
"Tapi saya kena lihat kesesuaian dengan jadual lakonan saya kerana bidang lakonan juga tetap berjalan seperti biasa.
"Alhamdulillah, jadual lakonan saya penuh sehingga ke pertengahan tahun depan.
"Dek kerana itu saya tidak main terima  tawaran mengacara walaupun cinta pertama saya memang di dalam bidang pengacaraan.
"Saya harap untuk Anugerah Skrin nanti, saya dapat buat yang sebaiknya walaupun saya hanya muncul untuk seketika bersama Alif.
"Tapi saya lihat ia masa yang sesuai untuk saya belajar kerana ramai pengacara berpengalaman turut serta, termasuk Sarimah Ibrahim," jelasnya yang teringin mengacara program sendiri suatu hari nanti.
Tambah Mira, biarpun ada suara yang mengkritik setiap percaturannya, namun dia tidak melihat semua itu sebagai pematah semangat buatnya.
"Bila saya berlakon, ada yang mengkritik, bila mengacara pun sama.
"Tapi saya tak jadikan ia sebagai satu masalah kerana saya anggap semua kritikan itu membina.
"Ia juga menjadi panduan buat saya memperbaiki kesilapan yang dilakukan," ujarnya.
Berkongsi perkembangan terkininya, Mira berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran dua telefilem iaitu Malam Tanpa Yassin dan Love You Mr Poman.
Selain itu, dia juga bakal memulakan penggambaran drama bersiri 16 episod bersama Fattah Amin berjudul Cik Serba Tahu, bulan depan.
"Saya juga akan menjayakan sebuah telefilem bersama Zizan Razak pada hujung tahun ini dan dua lagi drama bersiri pada tahun depan," katanya.
Bahagi masa
Tidak hanya sibuk dengan karier seninya, Mira berkata, dia juga sibuk menguruskan perniagaan produk penjagaan wajah jenama Mora Essential yang diuruskan sejak hampir dua tahun lalu.
"Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan dan saya memang menjual produk ini sejak sebelum menyertai industri seni lagi.
"Jadi, saya kena pandai bahagikan masa kerana selain sibuk dengan bidang lakonan dan pengacaraan, saya juga perlu memantau perniagaan ini.
"Insya ALLAH saya ada perancangan untuk mengembangkan perniagaan pada masa akan datang, cuma belum tahu bila dan bentuk perniagaan sahaja," akhirinya.