SHAH ALAM – Dilahirkan dalam keluarga yang memiliki latar belakang 'kahwin campur’ mendorong anak jati Klang, Selangor ini lebih terbuka untuk bercampur dengan masyarakat berlainan bangsa dan agama.
Nooratiqah Adila Noorzaidy, 27 atau mesra disapa Atiqah mengakui perbezaan itu bukanlah perkara yang perlu dinilai dari mata kasar, namun nilai keikhlasan serta kejujuran seseorang lebih mustahak.
Dibesarkan dalam keluarga yang mempraktikkan cara hidup Melayu dan Islam tidak menjadi penghalang buatnya untuk menerima dan mengenali teman-teman yang berlainan dengan asal usulnya.
“Semuanya bermula ketika saya memulakan sesi persekolahan darjah 1  di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Tshing Nian, Klang.  Ketika  itu hanya saya dan seorang lagi yang berbangsa Melayu.
“Mahu atau tidak, saya perlu menyesuaikan diri untuk menjalani persekolahan dan sejujurnya ketika itu mereka menerima kehadiran saya dengan hati terbuka.
"Tiga tahun bersekolah di sekolah tersebut, saya mula menguasai  bahasa Mandarin,  menulis dan membaca dalam bahasa itu," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, walaupun usianya masih mentah untuk memahami erti perpaduan, pengalaman yang ditempuhi setiap hari menjadikan dirinya terbuka menerima perbezaan budaya dan agama.
“Sehinggalah pada usia 13 tahun, saya melanjutkan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Raja Zarina. Di sekolah ini boleh dikatakan dipenuhi pelajar Melayu, India dan Cina.
“Saya mula sedar ada perbezaan dari aspek pemahaman dan pergaulan, tetapi saya melihat ke arah yang lebih positif  dan boleh memberi kebaikan,” katanya.
Perubahan sekeliling tidak pernah mengubah pendiriannya untuk terus terbuka menerima perbezaan di kalangan teman-teman sekolah, apatah lagi sifatnya yang peramah dan suka bertanya membuatkan dirinya selesa untuk didekati.
“Saya selesa bergaul dengan kawan-kawan berlainan bangsa. Lebih-lebih lagi apabila saya mampu bertutur dalam bahasa Cina dan memahami pertuturan bahasa Tamil membuatkan mereka juga selesa untuk menerima saya.
“Bila kita bergaul dengan orang yang berbeza, ia sebenarnya memberi kita peluang  menambah pengalaman dan ilmu pengetahuan am. Saya sendiri adalah seorang yang suka bertanya lebih-lebih lagi berkaitan budaya kawan-kawan yang berlainan bangsa,” ujarnya.
Apa yang lebih menarik, Atiqah turut memberitahu hubungan persahabatannya bersama dua teman karib yang berlainan agama dan bangsa turut menjadi perhatian.
Katanya, perbezaan itu, bukan penghalang buat mereka mempertahankan hubungan persahabatan itu sehingga kini.
“Secara kebetulan, dua teman karib saya adalah Tan Wen Dee, 27 dan Angeline Douglas. Di sekolah kami dikenali sebagai ‘geng muhibah’ memandangkan latar belakang budaya dan agama yang berbeza.
“Persahabatan itu tidak terhenti di zaman persekolahan kerana sehingga sekarang kami masih akrab.
"Walaupun masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri, tapi kami cuba mencari masa sesuai untuk bertemu  terutama ketika meraikan Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina dan Deepavali bersama selain berhubung melalui media sosial,” katanya.
Pengalaman  mempelajari budaya pelbagai kaum dan bangsa sedikit sebanyak membantu ibu kepada seorang putera, Muhammad Rayyan Danial, 3 ini dalam menggalas tugas sebagai pramugari di syarikat penerbangan swasta.
Pengalaman bantu kerjaya
“Apa yang saya belajar dari pengalaman lalu sangat membantu saya terutama ketika berkomunikasi dengan masyarakat berbilang kaum. Sekurang-kurangnya saya tahu bagaimana untuk melayani penumpang yang berbeza agama dan bangsa.
“Sehingga sekarang, saya tidak pernah jemu untuk mengenali atau mempelajari budaya lain kerana bagi saya ia memberi kebaikan untuk diri kita sendiri. Kalau boleh saya mahu terus menerapkan perkara ini sehingga ke anak cucu  nanti,” jelasnya.
Manfaat itu telah membuka matanya bahawa perpaduan dan sikap saling memahami di antara kaum atau bangsa tidak pernah merugikan malah memberi seribu kebaikan  kepada sesiapa sahaja.
“Tak salah jika kita saling menerima dan  tidak menjadikan perbezaan itu sebagai faktor yang menghalang kita untuk saling mengenali.
“Kehidupan rakyat di negara ini akan lebih bermakna dan berwarna-warni sekiranya nilai perpaduan ada dalam setiap masyarakat,” ujarnya lagi.