BERSEMPENA dengan sambutan Deepavali, pencinta filem Bollywood khususnya jangan ketinggalan untuk menonton sebuah filem aksi hebat, Shivaay yang bakal menjengah pawagam penghujung Oktober ini.
Filem ini menampilkan hero popular Bollywood, Ajay Devgan yang sebelum ini cukup popular menerusi barisan filem cinta dan aksi seperti Ishq, Thakshak, Parvana dan Yuva.
Selain memegang watak utama di dalam filem berkenaan di samping Erika Kaar, suami kepada aktres Kajol ini turut bertindak selaku pengarah, penulis dan penerbit untuk filem tersebut.
Filem ini mengisahkan mengenai kegigihan seorang bapa yang merupakan pendaki gunung cuba untuk mempertahankan keluarganya daripada ancaman pihak tidak bertanggungjawab.
Trailer filem tersebut yang dimuat naik di laman Youtube sejak beberapa bulan lalu sudah ditonton lebih 23 juta kali dan ia pastinya menjadi signal positif untuk filem ini apabila ia ditayangkan pada musim perayaan khasnya di India tidak lama lagi.
Untuk rekod, Ajay yang juga merupakan penerbit filem ini di bawah jenama syarikatnya sendiri iaitu Ajay Devgn FFilm optimis untuk membawa filem tersebut sebagai antara naskhah terbaik yang pernah dihasilkan oleh syarikat penerbitannya.
Berkongsi mengenai filem itu lagi, aktor yang kini berusia 47 tahun itu seperti yang dipetik di dalam sebuah temubual berkata, dia teruja menantikan reaksi penonton selepas tayangan filem ini.
“Jujurnya, saya teruja, tetapi dalam masa sama agak takut kerana anda tidak boleh meramalkan selera penonton pada waktu itu. Apa yang penting, kami sudah berikan yang terbaik dan harap mereka akan menyukainya.
“Filem ini menjalani penggambaran dalam tempoh yang agak lama iaitu sekitar November 2014 yang lalu dan kami memilih Bulgaria sebagai lokasi penggambaran di luar India sebagai satu kelainan,” ujarnya lagi.
Ajay atau nama sebenarnya Vishal Veru Devgan memulakan kerjaya seninya pada usia yang muda iaitu pada 1985 menerusi filem Pyari Behna. Pada 2002, pelakon ini dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Screen Awards atas lakonan cemerlangnya di dalam filem Company di samping Manisha Koirala dan Viviek Oberoi.