TAIPEI - TAIWAN. Kira-kira 180,000 isi rumah terputus bekalan kuasa semalam, selepas sebahagian daripada Taiwan dibadai taufan Meranti yang disifatkan paling kuat pada tahun ini.
Menurut Biro Cuaca Taiwan, stesen pemerhatian Hengchun merekodkan angin paling kencang dalam tempoh 120 tahun dan mencetuskan hujan lebat ke bahagian timur dan selatan negara itu.
Meranti membawa angin dengan kelajuan sehingga 263km sejam pada jam 2.15 pagi (waktu tempatan).
“Ia dijangka menurunkan hujan sebanyak 800 milimiter di kawasan pergunungan dan boleh menyebabkan tanah runtuh,” menurut peramal cuaca, Hsieh Pei-yun.
Difahamkan, sekolah dan pejabat ditutup di kebanyakan daerah di timur dan selatan selain perkhidmatan kereta api turut dihentikan di sepanjang kawasan pantai timur negara terbabit.