DARI jauh, bentuknya kelihatan seperti cendawan, namun apabila diteliti semula, ia bukanlah cendawan sebenar, tetapi merupakan sejenis pau, dipanggil pau cendawan.
Pau cendawan semakin popular apabila ia menjadi viral di laman sosial sejak Ramadan lalu. Ia pada awalnya dijual di sebuah gerai di tapak Bazar Ramadan Putrajaya.
Keunikan bentuknya yang mirip cendawan dan rasanya yang enak dengan inti daging paha ayam serta sup cendawan, menarik minat orang ramai untuk menikmatinya.
Permintaan yang tinggi itu menyebabkan ramai peniaga baharu mengambil peluang untuk menambahkan pendapatan.
Guru, Nor Laili Jamalludin berkata, dek kerana tidak sempat mencuba pau cendawan di Bazar Ramadan Putrajaya ketika bulan puasa lalu, dia membeli pau cendawan sejuk beku yang dijual ejen.
"Rasanya memang sedap dan berkrim, seperti carbonara. Bentuk paunya juga menarik, tidak seperti pau biasa yang kita selalu beli," katanya.
Menurutnya, pau cendawan sejuk beku juga memudahkannya untuk menyediakan hidangan keluarganya.
"Hanya kukus selama 10 minit, kami sudah boleh menikmatinya, tanpa perlu bersusah payah untuk buat sendiri, yang mengambil masa lama, selain harga barang yang mahal.
"Setiap minggu, biasanya dua kali saya akan sediakan hidangan pau cendawan ini kerana ia menjadi menu kegemaran kami sekeluarga," katanya.
Rasa enak, penuhi cita rasa
Bagi peniaga, Muhammad Hairizal Md Nor, dia tertarik dengan pau cendawan kerana bentuknya yang menyerupai cendawan sebenar.
"Saya kenal pau cendawan daripada kawan, sebelum ia menjadi viral di laman sosial. Dari situ, saya mula tertarik untuk menikmati pau ini sendiri.
"Selain pau yang gebu, saya suka dengan keenakan inti pau yang rasa seperti carbonara, ada cendawan di dalamnya. Bila kita kukus, ia akan jadi lagi kembang daripada saiz pau cendawan sejuk beku," katanya.
Muhammad Hairizal juga pernah menjadikan pau cendawan sejuk beku itu sebagai buah tangan untuk keluarga mertuanya, apabila pulang ke kampung halaman isterinya di Johor.
Bagi pelajar, Nurul Najaa Muah, walaupun pau bukanlah makanan kegemarannya, namun keenakan rasanya membuatkan dia menyukai pau cendawan.
"Mungkin kerana isi daging ayam dan cendawan membuatkan rasa pau cendawan begitu enak dan memenuhi cita rasa saya.
"Keunikan pau ini memberikan pelbagai variasi kepada pelanggan, sekali gus menjadikan pau ini menjadi makanan kegemaran ramai," katanya.
Terjual 250 biji sehari
Sementara itu, peniaga pau cendawan, Nor Amira Jamalludin berkata, populariti pau cendawan di Bazar Ramadan Putrajaya yang menjadi sebutan ramai, menjadi faktor utama dia mula menjual makanan itu, di samping menjana pendapatan tambahan.
"Saya dan suami menghubungi pemilik asal pau cendawan, yang menjadi viral sejak Ramadan lalu. Pada awalnya, pembekal tidak mahu mengambil tempahan kami, untuk jualan semula kerana kekangan stok, namun selepas dipujuk, akhirnya mereka akur untuk membekalkannya.
"Kami mula menjual pau cendawan sejuk beku ini pada akhir Julai lalu dengan bekalan 60 biji pau sehari, dan kami tidak sangka sambutannya menggalakkan," katanya.
Nor Amira yang kini menjadi ejen pau cendawan sejuk beku itu, mengambil bekalan 200 hingga 250 biji pau sehari.
"Ada kalanya, bekalan yang kami ambil setiap hari, tidak mampu untuk menampung semua permintaan pelanggan, terutamanya pada waktu gaji, hujung bulan.
"Jika bekalan pau cendawan habis, saya akan mengutamakan tempahan pelanggan yang tidak dapat pau, pada hari berikutnya.
"Ramai pelanggan yang mengulang semula tempahan mereka selepas mencuba pertama kali," katanya yang menjual pau cendawan sejuk beku, pada harga RM10 setiap pek, yang mengandungi tiga biji.
Selain dijual di rumahnya, Nor Amira juga menyediakan khidmat penghantaran di sekitar Puchong, Putrajaya dan Cyberjaya, untuk pembelian 10 pek ke atas, tanpa caj.
Menurutnya, pau cendawan sejuk beku itu tahan selama enam bulan disimpan di dalam peti ais atau tujuh jam pada suhu bilik.
Pada bulan ini, Nor Amira akan membekalkan pau cendawan sejuk beku kepada tiga buah kedai di sekitar Puchong, Putrajaya dan Cyberjaya.