SAMSUNG telah memperkenalkan ikon bateri berwarna hijau untuk membantu pengguna mengenal pasti peranti Galaxy Note7 yang baharu.
Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd berkata Samsung telah mula menggantikan Galaxy Note7 dengan pembuatan bateri standard.
"Bagi membantu pengguna mudah memahami sekiranya mereka mempunyai peranti baharu dan menggunakan Galaxy Note7 baharu dengan yakin, syarikat telah memperkenalkan ikon bateri berwarna hijau yang dimasukkan dalam tiga perubahan perisian tertentu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, ikon bateri hijau yang baharu itu akan dapat dilihat di tiga tempat iaitu 'Status Bar', skrin paparan 'Always On' dan skrin segera 'Power Off' yang boleh diakses dengan menekan lama butang kuasa.
Selain itu, pengguna juga boleh memeriksa dengan mudah sekiranya mereka menggunakan Galaxy Note7 baharu dengan melihat kepada simbol empat segi pada label di kotak bungkusan.
Pada 5 September lalu, Samsung menghentikan semua jualan Galaxy Note7 selepas 35 kes dilaporkan di seluruh dunia hingga 1 Sept, berikutan isu berkaitan dengan sel bateri.
"Keutamaan kami ialah keselamatan pelanggan kami dan kami menggesa semua pengguna Galaxy Note7 untuk segera mengambil bahagian dalam program penggantian berdasarkan ketersediaan tempatan," tambah SME dalam kenyataan itu.
Katanya, pelanggan di Malaysia yang memiliki Galaxy Note7, boleh menggantikan peranti sedia ada mereka dengan yang baharu bermula 29 Sept ini.