TIDAK ramai pelakon Asia yang mempunyai ‘tuah’ untuk menempatkan diri sebagai pelakon popular di Hollywood.
Namun berbeza dengan pelakon kacak kelahiran Korea, Lee Byung-hun yang kini sudah mulai selesa berada dalam kalangan kelompok pelakon Asia yang disegani di negara Uncle Sam itu.
Bermula dengan aksinya menerusi beberapa filem blockbuster Korea seperti A Bittersweet Life, Byung-hun kemudian dilamar pembikin filem Hollywood untuk mengembangkan bakat lakonannya di sana.
Meskipun pada peringkat awal banyak kekangan dihadapi, itu bukan masalah buat pelakon yang dilahirkan pada 1970 ini untuk melakar bintangnya di negara orang.
Dipetik dalam satu temu bual Byung-hun berkata;
“Antara halangan terbesar di sana (Hollywood) adalah bahasa kerana saya tidaklah begitu fasih berbahasa Inggeris.
“Selain itu, budaya mereka juga agak berbeza kerana saya dibesarkan di Korea, bukannya di Amerika Syarikat,” katanya.
Apapun atas usaha dan tiket bakat yang ada, dia tetap diberi peluang untuk mempamerkan kualiti lakonannya menerusi filem berbajet besar Hollywood, G.I. Joe: The Rise of Cobra pada 2009 membawa peranan sebagai Storm Shadow.
Empat tahun selepas itu, dia kembali menyengat menerusi sekuel filem tersebut. Apa yang pasti, lakonannya yang paling terkesan sudah tentulah wataknya sebagai polis prototaip Skynet di dalam Terminator Genisys yang diterbitkan pada 2015.
Terbaru, aktor yang turut berkebolehan menyanyi ini muncul menerusi filem aksi, The Magnificent Seven di samping pelakon senior lain seperti Denzel Washington, Ethan Hawke dan ramai lagi.
Filem yang dijangka menemui peminat filem Malaysia hujung bulan ini menyaksikan Byung-hun membawakan peranan sebagai Billy Rocks iaitu seorang pembunuh upahan.