SINONIM meniup saksofon adalah dalam kalangan lelaki, namun tembok itu cuba dipecahkan oleh seorang wanita berusia 27 tahun apabila kini dikenali sebagai pemain saksofon gaya bebas wanita pertama di Malaysia serta berupaya menjana pendapatan tetap daripada kemahiran bermain alat muzik itu.
Menurut Tay Ke Yin, pembabitannya bermain alat muzik berkenaan adalah secara tiba-tiba apabila dia terpilih untuk menyertai pasukan pancaragam sekolahnya ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan (P) Sultan Ibrahim, di sini, 15 tahun lepas.
“Serius, sebenarnya saya tidak tahu langsung tentang alat muzik ini. Malah, sejak kecil saya bukanlah berminat dengan apa-apa alat muzik kecuali hanya tahu sedikit meniup rekoder ketika di sekolah rendah.
“Apabila sertai pasukan pancaragam ketika di sekolah menengah, ‘senior’ suruh saya meniup saksofon dan secara tiba-tiba saya dapat lakukan.
“Kemudian, lama-kelamaan saya yang hanya bermula sekadar mahu belajar tetapi semakin seronok hingga terlibat dalam pasukan pancaragam sekolah selama tujuh tahun,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengimbas kembali awal penglibatannya, Ke Yin yang berasal dari bandaraya ini memberitahu, tidak dinafikan agak sukar pada mulanya untuk dia serasi meniup saksofon.
“Kebiasaannya antara dua hingga tiga bulan seseorang itu mampu menguasai instrumennya, tetapi saya mengambil masa dalam tiga bulan juga untuk mempelajari asasnya kerana agak sukar pada mula untuk meniupnya.
“Saya tidak terfikir pun mahu mencari kelainan, tetapi apabila meniup saksofon perasaan saya menjadi tenang dan rasa kurang tekanan yang dialami,” katanya yang turut mengamalkan senaman sebagai membantu pernafasannya meniup alat muzik itu.
Pemegang ijazah Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Teknologi Malaysia ini turut bercita-cita mengembangkan kemahirannya kepada mereka yang berminat untuk mempelajarinya.
“Saya sendiri juga tidak sangka hobi saya kini telah bertukar kepada kerjaya. Saya harap dapat kongsi minat saya dengan masyarakat dan mereka boleh lihat bakat yang saya ada.
“Dalam masa sama, saya mahu mengajar orang lain bermain saksofon kerana saya sangat yakin semua orang mampu menguasai kemahirannya sekiranya mempunyai minat,” katanya yang kini bertugas di sebuah hotel di bandaraya ini sebagai pakar jenama kumpulan muzik selain turut dijemput bermain saksofon pada majlis keraian.