KELUNAKAN kicauan dan aksi 'galak' ditunjukkan burung candik di dalam sarang mungkin dianggap biasa bagi sesetengah orang.
Bagaimanapun, bagi peminat burung ini, lontaran suara dikeluarkan burung candik dianggap terlalu istimewa dan mempunyai harga yang tidak ternilai.
Bukan itu sahaja, kicauan burung ini juga seolah-olah alunan muzik yang begitu mengasyikkan sehingga mampu meredakan tekanan selepas penat mencari rezeki.
Ini diakui sendiri peminat tegar burung candik, Keng Soon Bee, 39, yang sanggup mengeluarkan belanja sehingga mencecah ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan burung bersuara lemak merdu ini.
“Bunyi dihasilkan burung ini amat mengasyikkan, lebih-lebih lagi apabila mereka saling melontarkan kemerduan kicauan masing-masing.
“Setiap kali saya meluangkan masa dengan burung candik peliharaan, bagaikan memberi ketenangan sekali gus menghilangkan gundah-gulana dan keserabutan yang bersarang di kepala,” katanya ketika ditemui pada Pertandingan Burung Candik yang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia di Kampung Pasir Parit, Chetok, di sini.
Pertandingan itu melibatkan sebanyak 160 penyertaan terdiri daripada masyarakat berbilang kaum seperti Cina, Melayu dan Siam yang datang dari seluruh Kelantan, Terengganu serta Thailand.

Nama pelik gambarkan sifat burung
Menurut Soon Bee yang merupakan penganjur pertandingan, setiap burung peliharaannya mempunyai nama khas seperti Edeng, Pusing, Pulling, Pokteh, Abe, Buto dan bermacam-macam lagi.
Katanya, nama itu diberi berdasarkan sifat dan fizikal burung semasa dibeli, selain ada yang siap dinamakan pemilik sebelumnya.
"Saya mula meminati burung candik sejak kanak-kanak kerana mengikut minat ayah (Keng Chan Lee, 60, atau lebih dikenali sebagai Epo dalam kalangan peminat burung di Kelantan).
“Selain menghasilkan bunyi yang merdu, burung candik sangat senang dijaga berbanding haiwan peliharaan lain. Ia hanya makan buah-buahan, perlu dimandikan setiap hari, lebih kurang seperti menjaga anak sendiri,” katanya berseloroh.
Mengulas pertandingan itu, Soon Bee berkata, pertandingan itu diadakan untuk beri peluang kepada peminat burung candik menunjukkan keistimewaan burung yang mereka miliki.
Katanya, pertandingan itu menyaksikan burung candik bernilai ratusan ringgit sehinggalah berharga RM40,000 mempamerkan keunikan masing-masing.
“Kami adakan pertandingan ini untuk merapatkan hubungan peminat burung candik dan bertukar petua. Selain itu, ia juga bagi mengekalkan seni suara tersebut daripada ditelan zaman.
“Setiap kali pertandingan diadakan, pasti ada anak muda turut serta yang membuktikan acara ini bukan diminati golongan berusia saja,” katanya.

Belanja ribuan ringgit
Seorang lagi peminat tegar, Kee Soo Yong, 59, yang berasal dari Kota Bharu berkata, dia kini mempunyai 23 burung candik yang bernilai hampir ribuan ringgit.
Menurutnya, candik paling mahal pernah dimilikinya bernilai RM7,500 seekor.
Katanya, kebanyakan burung peliharaannya sentiasa jadi pilihan pengadil dan pernah memenangi beberapa pertandingan.
“Antara burung kesayangan saya ialah Mawi, Bakong, Epi dan Merak. Semua burung ini mempunyai nilai tersendiri dan suara merdunya sering memikat hati pengadil sehingga membolehkan saya bawa pulang pelbagai hadiah kemenangan,” katanya.

Kicauan burung jadi penentu
Sementara itu, pengadil pertandingan yang berpengalaman 30 tahun dalam bidang pengadilan seni suara burung, Adnan Abdullah berkata, markah diberi berdasarkan bilangan kicauan burung dalam masa 15 saat.
Menurutnya, sepanjang tempoh masa diberikan itu, pengadil akan mendengar dan membilang berapa banyak kicauan dihasilkan serta bagaimana bunyi dikeluarkan sama ada merdu ataupun tidak.
Katanya lagi, kebiasaannya seekor burung candik boleh menghasilkan kicauan paling banyak sehingga 10 kali.