BAGI meraikan detik-detik bersejarah pasukan bola sepak negara, Astro melancarkan dokumentari khas, Harimau Malaya 1980 sempena sambutan Hari Malaysia 2016.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Datuk Rohana Rozhan berkata, penerbitan dokumentari khas ini bertujuan untuk memaparkan kisah pasukan impian (dream team) yang melalui pelbagai cabaran sebelum mara ke Sukan Olimpik Moscow 1980.
“Kita ingin menceritakan kisah wira-wira negara ini yang berjaya mengharungi pelbagai cabaran sehingga menjadikan mereka sebuah pasukan terunggul yang begitu dihormati sekali gus memenangi hati semua masyarakat.
“Kita juga berharap agar kisah perjuangan mereka ini akan terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi di masa akan datang,” katanya.
Pada masa sama, katanya, dokumentari ini akan menyorot kembali detik-detik indah, saat suka duka, pengorbanan, pencapaian dan kejayaan pemain sehingga melayakkan pasukan untuk bertanding di Sukan Olimpik Moscow pada 1980.
“Buat julung kalinya, skuad ini kembali disatukan selepas 36 tahun.
“Bahkan, beberapa sesi temu ramah istimewa bersama legenda bola sepak tanah air turut dilakukan.
“Antara yang terlibat ialah ahli keluarga pemain yang tidak lagi bersama dengan kita, Zulkarnain Hassan, Karl-Heinz Weigang, Datuk Soh Chin Aun, Hassan Sani, James Wong, Datuk Santokh Singh dan bekas Menteri Luar Negeri, Tengku Tan Sri Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail,” katanya.
Jelasnya lagi, pasukan Harimau Malaya 1980 merupakan lambang kebanggaan masyarakat Malaysia.
“Kisah perjuangan mereka ini mengingatkan kita akan kepentingan semangat berpasukan, sentiasa bersatu padu dalam mengamalkan kepelbagaian bangsa selain memiliki kekuatan untuk menerima perbezaan di antara satu sama lain bagi mengecap kejayaan yang diimpikan bersama,” katanya.
Dalam pada itu, penerbitnya, Basir Siswo berkata, penghasilan dokumentari berkenaan boleh diibaratkan menghimpunkan kembali kepingan jigsaw puzzle yang tersimpan selama 36 tahun lamanya.
“Saat yang paling menyentuh hati adalah apabila perjumpaan semula pemain yang mana mereka kemudiannya menyarungkan kembali jersi masing-masing dan berjalan beriringan untuk masuk ke dalam Stadium Merdeka.
“Ini merupakan senario yang cukup menggamit memori,” katanya.