PENYANYI bersuara lantang, Black merasakan sudah tiba masanya untuk bergerak secara solo selepas  hampir lapan tahun berkecimpung dalam industri hiburan.
Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah mengambil keputusan itu selepas kontraknya dengan syarikat pengurusan The 8Unit tamat pada 15 Julai lalu.
“Berbekalkan pengalaman yang ada, saya rasa ini adalah waktu yang terbaik untuk saya bergerak sendiri.
“Insya-ALLAH, mungkin tiada masalah akan berlaku. Lagipun, selepas lebih sebulan bergerak solo, saya mengakui selesa.
"Lagi pula, apa yang saya lakukan selama ini semuanya berdasarkan kehendak dan pilihan sendiri," katanya kepada Zass ketika ditemui di Final Viewing, Sayangku Kapten Mukhriz, kelmarin.
Kini, pelantun lagu Teman Pengganti ini bernaung di bawah syarikat pengurusan sendiri, BlackCira Solution yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu.
Begitu pun, penyanyi berusia 29 tahun ini mengakui masih terlalu hijau dalam soal promosi album mahu pun pemilihan lagu sekali gus memerlukannya kekal mendapatkan khidmat Monkey Bone.
"Saya mencari makan sebagai penyanyi, jadi sudah tentu saya mengharapkan agar dapat pelbagai tawaran persembahan.
"Oleh sebab itu, sebagai penyanyi, saya hanya mahu lagu saya didendangkan di setiap stesen radio selain mendapat perhatian daripada pendengar," katanya.
Bercerita mengenai perancangan BlackCira Solution, pelantun lagu Takkan Terpisah ini dalam usaha mencari artis baharu untuk bernaung di bawah syarikatnya.
"Saya memang ada rancangan untuk ambil artis di bawah syarikat saya. Tapi, kalau boleh, saya tidak mahu ambil artis yang sudah sedia ada.
"Jadi, sebagai permulaan, saya akan menganjurkan satu festival  di Kedah, Oktober ini.
"Menerusi festival itu, satu pertandingan karaoke iaitu Karoks Jalanan akan dijalankan. Sasaran saya adalah mencari dua peserta yang berbakat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Black kini sedang sibuk mempromosikan single terbaharunya, Anugerah Terindah ciptaan Omar K.
"Alhamdulillah, saya tidak sangka lagu ini dapat sambutan yang begitu memberangsangkan.
"Bahkan, klip videonya di laman sosial, Youtube mendapat lebih 400,000 jumlah tontonan sejak dilancarkan pada 9 Ogos lalu.
"Saya juga sedang merangka untuk melancarkan single terbaharu tidak lama lagi," katanya.
Pada masa sama, Black juga bakal menjalinkan kolaborasi bersama Datuk Ramli MS dan Tomok dalam menghasilkan single terbaharu pada masa depan.